BLD Plantation beli dua tanah bernilai RM24 juta di Sarawak | DagangNews Skip to main content

BLD Plantation beli dua tanah bernilai RM24 juta di Sarawak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - BLD Plantation Bhd menerusi anak syarikatnya, Kirana Palm Oil Refinery Sdn Bhd  telah menandatangani dua perjanjian jual beli (SPA) untuk membeli dua tanah di Bintulu, Sarawak bernilai RM24 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini,  BLD Plantation berkata SPA tersebut dimeterai dengan Syarikat Sebangun Sdn Bhd melibatkan tanah 1.45 hektar dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM7 juta, manakala tanah kedua berkeluasan 3.46 hektar bernilai RM17 juta.

 

Kumpulan itu berkata jumlah tersebut adalah berdasarkan ‘pembeli rela penjual sanggup’ selepas mengambil kira nilai pasaran bagi hartanah oleh MKK Property Consultants Sdn Bhd,

 

Kirana merupakan syarikat yang terlibat dalam operasi kilang penapisan minyak sawit dan kilang penghancur isirung sawit.

 

Kumpulan itu berkata pengambilalihan kedua-dua tanah terbabit akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank, jika perlu.

 

“Cadangan pengambilalihan di daerah Kemena, Bintulu adalah sesuai untuk pengembangan aktiviti perniagaan kumpulan pada masa akan datang, dengan mengambil kira kesesuaian tanah tersebut dari segi lokasinya yang strategik dan mudah diakses dari pusat bandar Bintulu dengan ketersediaan kemudahan sekitar sedia ada dan infrastruktur di sekitar hartanah,” katanya.

 

BLD Plantation turut menjangkakan pengambilalihan dua tanah tersebut menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dalam jangka panjang.

 

“Mengambil kira saiz, lokasi strategik dan kesediaan hartanah, Lembaga Pengarah percaya bahawa sumbangan positif daripada pengambilalihan akan menyokong pertumbuhan operasi semasa kumpulan dan pengembangan perniagaan yang selaras dengan pelan strategik jangka panjang,” tambahnya.

 

Kumpulan itu berkata pengambilalihan tersebut dijangka tidak mempunyai kesan material ke atas pendapatan sesaham (EPS), aset bersih sesaham dan penggearan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24).  - DagangNews.com