BN Gopeng perjuangkan kepentingan Orang Asli | DagangNews Skip to main content

BN Gopeng perjuangkan kepentingan Orang Asli

Cally beramah mesra bersama seorang penduduk semasa turun padang menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Kerawat, Gopeng.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 1 Nov - Barisan Nasional (BN) komited menambah baik peranan dan keperluan dalam mentadbir serta menjaga kepentingan Orang Asli secara holistik.

 

Ini penting kerana masyarakat Orang Asli perlu seiring dan tidak boleh ketinggalan dalam sebarang perancangan pembangunan.

 

Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting Zhao Song berkata, dua perkara besar berkaitan kepentingan masyarakat Orang Asli akan berlaku dalam usaha kerajaan memperkasa golongan tersebut.

 

"Pertama, Akta Orang Asli 1954. Akta ini akan dipinda kerana tidak pernah dipinda sejak 1974.

 

"Kedua ialah Dasar Pembangunan Orang Asli mengganti Dasar Pentadbiran Orang Asli.

 

"Dua perubahan besar terhadap komuniti Orang Asli ini sangat penting, jadi kerajaan BN sangat mengambil berat terhadap perubahan besar ini," katanya.

 

 

Zhao Song
                        Cally Ting Zhao Song

 


Pada masa sama, Cally mempersoalkan apakah peranan dan kedudukan yang telah diambil Ahli Parlimen Gopeng sejak 15 tahun lalu.

 

Katanya, sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen berkenaan sepatutnya telah merangka apakah perubahan yang diinginkan dalam pelbagai urusan Orang Asli.

 

"Urusan hal tanah, pendidikan, kesihatan, kepimpinan, ekonomi dan sebagainya.

 

"Bagaimana pula pendidikan anak-anak Orang Asli. Kerajaan BN ingin memastikan anak anak Orang Asli menghabiskan pendidikan 

 

"Ini mesti diutamakan. Mereka perlu melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi," ujarnya.

 

Jelas Cally, pihaknya telah merangka visi pembangunan lima tahun masyarakat Orang Asli agar setiap perancangan dibuat secara teratur tanpa meminggirkan setiap peringkat.

 

Katanya, ia bermula daripada peranan ahli Parlimen Gopeng dan peranan Ahli Dewan Undangan Negeri Teja.

 

"Peranan industri swasta berhampiran kawasan juga perlulah dilibatkan. Ini konsep mutualisme (Perkongsian kerjasama semua pihak).

 

 "Juga dilibatkan ialah Jawatan kuasa yang menggabungkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)  dalam Parlimen Gopeng," ujarnya. - DagangNews.com