Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 31 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) membidas tanggapan bahawa rizab antarabangsa negara terlalu rendah.
Sebaliknya, rizab antarabangsa BNM pada akhir tahun 2020 kekal mencukupi, dan tidak rendah atau terlalu tinggi berdasarkan pelbagai penanda aras yang diterima pada peringkat antarabangsa.
“Memandangkan tahap keterbukaan perdagangan dan kewangan Malaysia yang tinggi, memiliki rizab antarabangsa yang mencukupi adalah penting untuk mengurangkan kesan kebalikan aliran modal yang mendadak,” jelas BNM dalam Laporan Tahunan BNM 2020, yang dikeluarkan hari ini.
Bank pusat itu menekankan bahawa pengumpulan rizab antarabangsa telah bergerak seiring dengan potensi mudah tunai pertukaran asing yang diperlukan oleh ekonomi.
Malah, rizab antarabangsa BNM menepati nilai ambang kecukupan rizab tetapi tidak melebihi penanda aras tersebut dengan ketara, ujar bank pusat itu lanjut.
“Oleh itu, rizab antarabangsa adalah mencukupi dan tidak berlebihan,” tegas BNM.
Dalam masa sama, BNM turut menafikan bahawa rizab antarabangsa dapat digunakan untuk membiayai defisit fiskal dan membayar sebahagian daripada hutang kerajaan.
Jelas BNM, sebagai ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia terdedah kepada aliran modal dua hala yang mendadak dengan nilai yang cukup besar.
Kata bank pusat itu, BNM diberi kepercayaan untuk memastikan kesan aliran modal berkenaan diurus dengan baik bagi memelihara pasaran pertukaran asing yang teratur dan keadaan makro ekonomi yang stabil.
“Rizab antarabangsa BNM berada pada tahap yang setara dengan liabiliti luaran Malaysia.
“Penyusutan rizab antarabangsa BNM untuk tujuan lain akan menjejaskan kemampuan Malaysia untuk menghadapi dan bertindak balas terhadap kejutan luaran, dengan itu mendedahkan negara kepada risiko yang besar semasa tempoh tekanan,” tambah BNM.
Malaysia telah mengalami beberapa episod kebalikan aliran modal yang besar seperti Krisis Kewangan Global tahun 2008 hingga 2009 dan episod-episod kejutan harga minyak pada tahun 2014 hingga 2015.
Semasa episod-episod ini, BNM menggunakan rizab antarabangsa untuk mengimbangi aliran keluar mudah tunai mata wang asing yang ketara dan memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur.
Maka, langkah itu berjaya mengurangkan turun naik kadar pertukaran ringgit yang berlebihan yang pasti menjejaskan ekonomi Malaysia, tegas BNM. - DagangNews.com