BNM buat keputusan kekalkan OPR 1.75% | DagangNews Skip to main content

BNM buat keputusan kekalkan OPR 1.75%

 

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75% dengan mengambil kira pemulihan ekonomi global yang kukuh disokong peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perkhidmatan. 

 

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif, menurut BNM dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, katanya, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi. 

 

"Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. 

 

"Dalam hal ini, BNM akan terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan," jelasnya.

 

BNM berkata, kadar pemulihan adalah berbeza-beza yang mana negara-negara yang mencapai kemajuan lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin dapat melonggarkan langkah-langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negeri pulih dengan segera. 

 

Di beberapa negara maju pula, sokongan fiskal dan monetari yang besar juga menyokong momentum
pemulihan yang lebih kukuh, meskipun aktiviti di beberapa negara terganggudisebabkan oleh langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat bagimengekang penularan semula COVID-19. 

 

"Keadaan kewangan kekal menyokong pertumbuhan. Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan terutama oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara.

 

"Bagi ekonomi Malaysia, kegiatan ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama 2021 berterusan sehingga April seperti yang dicerminkan oleh penunjuk terkini, terutama eksport, perbelanjaan runcit dan keadaan pasaran pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut bank pusat itu, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara untuk mengekang penularan semula kes COVID-19 akan memperlahankan momentum pertumbuhan. 

 

Tahap kesan daripada pelaksanaan langkah-langkah ini kepada ekonomi sangat bergantung pada ketegasan dan tempoh langkah-langkah pembendungan. 

 

"Pelbagai pakej sokongan dasar akan meringankan sedikit beban kewangan yang ditanggung oleh isi rumah dan perniagaan.

 

"Keadaan permintaan luaran yang menggalakkan akan terus memberikan dorongan kepada pertumbuhan," katanya. 

 

BNM berkata, pengurangan langkah pembendungan secara beransur-ansur, bersama kemajuan pesat program pemberian vaksin dan permintaan luaran yang terus kukuh akan memberi sokongan kepada pemulihan pertumbuhan menjelang 2022. 

 

Namun, katanya, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah dengan ketara disebabkan faktor yang boleh mendorong kepada kelewatan pelonggaran langkah pembendungan atau lebih ketat, dan pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

Risiko-risiko ini boleh memberikan kesan kepada pemulihan pertumbuhan, tambah bank pusat.

 

"Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan baru-baru ini naik mendadak disebabkan oleh kesan asas daripada harga bahan api yang rendah pada suku kedua 2020. 

 

"Peningkatan mendadak ini adalah bersifat sementara dan inflasi keseluruhan diunjurkan sederhana pada tempoh terdekat apabila kesan asas ini luput," jelasnya. 

 

Bagi 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih hampir dengan angka yang lebih rendah dalam julat unjuran. 

 

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. 

 

"Bagaimanapun, prospek ini bergantung pada perkembangan harga komoditi global," tambahnya - DagangNews.com