BNM : KDNK 2021 diunjur lebih rendah antara 3-4%  | DagangNews Skip to main content

BNM : KDNK 2021 diunjur lebih rendah antara 3-4% 

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi tahun ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang antara 3 hingga 4% pada 2021. 

 

Unjuran itu adalah lebih rendah berbanding yang dibuat kerajaan sebelum ini antara 6 hingga 7.5%.

 

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus menjelaskan semasa membuat unjuran julat pertumbuhan yang disemak semula bagi 2021, pihaknya mengambil kira perkembangan ekonomi global terkini, pelaksanaan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara serta andaian mengenai peralihan berperingkat ke fasa kedua, ketiga dan keempat bagi setiap negeri berdasarkan kadar pemberian vaksin dan kapasiti sistem penjagaan kesihatan.

 

"Unjuran pertumbuhan yang baharu ini adalah lebih rendah berbanding dengan julat pertumbuhan yang diumumkan sebelum ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Walaupun prospek pertumbuhan jangka pendek telah terjejas akibat penularan semula kes COVID-19 baru-baru ini, ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan pemulihan  tahun ini. 

 

Menurut beliau, penularan kes COVID-19 dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara dijangka menjejaskan pertumbuhan, tetapi kesannya akan dikurangkan oleh beberapa faktor. 

 

"Faktor-faktor ini termasuk kebenaran yang terus diberikan kepada sektor ekonomi perlu untuk beroperasi, kemampuan yang lebih tinggi untuk menyesuaikan diri bekerja dari rumah serta bertambahnya penggunaan automasi dan pendigitalan. 

 

"Pertumbuhan akan terus disokong oleh langkah-langkah dasar yang akan memberikan sokongan aliran tunai khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas," katanya.

 

Pada masa hadapan, Nor Shamsiah berkata, trajektori pertumbuhan akan bergantung pada keupayaan membendung epidemik ini dan hasil kesihatan yang dicapai berikutan program pemberian vaksin di seluruh negara. 

 

Hal ini membolehkan sektor ekonomi dibuka semula secara beransur-ansur serta meningkatkan sentimen isi rumah dan perniagaan.

 

Bagaimanapun, jelasnya, jangkaan pembukaan semula ekonomi akan membantu menyokong pemulihan secara beransur-ansur menjelang akhir suku keempat tahun ini dengan pertumbuhan global yang lebih tinggi dan sokongan dasar yang berterusan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan ekonomi. 

 

"Pemulihan dijangka terus pesat pada 2022, disokong oleh kegiatan ekonomi yang beransur-ansur kembali normal serta limpahan kesan positif daripada permintaan luaran yang terus meningkat," katanya. 

 

Menerusi kenyataan itu juga, Nor Shamsiah memberi penekanan mengenai program imunisasi kebangsaan. 

 

Beliau menjelaskan, secara umumnya, pemulihan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka bermula semula pada penghujung separuh kedua 2021 dan bertambah baik pada 2022. 

 

"Kemajuan yang berterusan dan keberkesanan program pemberian vaksin akan menjadi pemangkin utama kepada pembukaan semula ekonomi dan menjadi pendorong kepada sentimen yang positif. 

 

"Hal ini akan mengurangkan tekanan ke atas kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan membolehkan langkah-langkah pembendungan dilonggarkan," tegas beliau.

 

Selain itu, katanya, pertumbuhan akan terus disokong oleh peningkatan pengeluaran komoditi, wujudnya sedikit permintaan terpendam (pent-up demand) dan pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar berikutan penamatan sekatan.

 

Pada tempoh terdekat, inflasi keseluruhan diunjurkan sederhana apabila luputnya kesan asas harga bahan api. 

 

"Bagi 2021, purata inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2 hingga 3%. Inflasi asas, yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi," jelasnya lagi. - DagangNews.com