BNM, Paynet teroka pembayaran rentas sempadan menerusi Projek Nexus | DagangNews Skip to main content

BNM, Paynet teroka pembayaran rentas sempadan menerusi Projek Nexus

 

 


KUALA LUMPUR 10 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) akan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa tentang suatu pembuktian konsep untuk menurunkan kos dan mempercepat pembayaran rentas sempadan. 

 

Dikenali sebagai Projek Nexus, pembuktian konsep ini akan mengkaji kebolehlaksanaan untuk menghubungkan sistem pembayaran masa nyata di Malaysia, Singapura dan kawasan euro. 

 

Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail berkata, projek Nexus adalah langkah positif untuk pembayaran rentas sempadan. 

 

Katanya, penyertaan BNM dalam Projek Nexus menggariskan komitmen Malaysia untuk memperteguh infrastruktur pembayaran utama negara demi masa hadapan. 

 

"Berlandaskan kejayaan daripada jalinan pembayaran dua hala dengan negara-negara ASEAN lain, inisiatif ini akan membuka jalan kepada RPP/DuitNow untuk berhubung dengan sistem pembayaran masa nyata yang lain di seluruh dunia. 

 

"Usaha ini akan menyokong aspirasi bagi membolehkan sistem pembayaran rentas sempadan menjadi lebih pantas, murah dan mudah diakses kepada penduduk Malaysia," katanya. 

 

Projek tersebut membolehkan pelanggan menghantar dan menerima pembayaran rentas sempadan dengan serta-merta dan selamat.

 

Dapatan kajian yang dijangka diterbitkan menjelang akhir 2022 akan membantu membangunkan satu rangkaian sistem pembayaran masa nyata global pada masa hadapan bagi membolehkan pembayaran rentas sempadan menjadi lebih pantas dan lancar. 

 

Prototaip yang akan dibangunkan di bawah pembuktian konsep ini belum boleh digunakan oleh orang ramai buat masa ini.

 

Projek Nexus yang diketuai oleh Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub adalah sejajar dengan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments). 

 

Rakan kongsi antarabangsa lain dalam projek ini termasuklah Banca d'Italia, Monetary Authority of Singapore (MAS) dan Banking Computer Services Pte Ltd (BCS).

 

Penyertaan Malaysia dalam Project Nexus melengkapkan usaha sedia ada negara dalam menghubungkan RPP/DuitNow dengan sistem pembayaran masa nyata lain di rantau ASEAN. 

 

Jalinan pembayaran antara Malaysia dengan Thailand yang dilancarkan pada Jun 2021 membolehkan pembayaran rentas sempadan masa nyata menggunakan kod QR antara kedua-dua negara. 

 

Perkhidmatan yang dipermudahkan oleh jalinan ini akan diperluaskan lagi pada 2022 untuk menyokong pindahan dana masa nyata dengan hanya menggunakan nombor telefon mudah alih. 

 

Usaha juga sedang giat dijalankan untuk mewujudkan jalinan pembayaran yang sama dengan Indonesia dan Singapura yang masing-masing akan dilancarkan pada penghujung 2021 dan 2022. 

 

Peningkatan kesalinghubungan antara negara melalui jalinan pembayaran ini akan menjadi pendorong untuk menyokong integrasi ekonomi dan kewangan serantau yang lebih rapat.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata, RPP/DuitNow merupakan infrastruktur utama untuk memacu pembayaran tanpa tunai dan pendigitalan di Malaysia. 

 

"Kami mengunjurkan kira-kira 1 bilion pembayaran masa nyata akan dibuat di Malaysia pada 2021. 

 

"Projek Nexus memberi kami peluang yang unik untuk menyumbang kepada reka bentuk infrastruktur pembayaran generasi masa depan yang teguh. 

 

"Penglibatan kami akan memastikan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan hasil daripada projek ini," katanya. - DagangNews.com