Boleh mohon Pas Perjalanan Tetap untuk keluar dan masuk Brunei | DagangNews Skip to main content

Boleh mohon Pas Perjalanan Tetap untuk keluar dan masuk Brunei

Brunei

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Warganegara Brunei, Malaysia dan warganegara asing yang melakukan perjalanan keluar dan masuk Brunei dengan kerap boleh membuat permohonan Pas Perjalanan Tetap (FCP).

Menurut Konsulat Jenderal Brunei Darussalam di Kuching, pas tersebut adalah layak kepada individu yang membuat perjalanan kerap sekurang-kurangnya 15 kali dalam sebulan.

"Bagi individu warganegara Brunei, Malaysia dan warganegara asing yang melakukan perjalanan kerap sekurang-kurangnya 15 kali sebulan untuk tujuan pekerjaan atau pendidikan adalah layak untuk memohon FCP.

"Permohonan pas tersebut boleh dibuat untuk tempoh sebulan, tiga bulan dan enam bulan bergantung kepada keperluan individu berkenaan," jelas Konsulat Jenderal Brunei Darussalam dalam satu kenyataan seperti dilapor DayakDaily.

Bermula 1 Oktober lalu, Kerajaan Brunei melaksanakan penguatkuasaan Caj Perkhimatan (CaP) dan FCP ke atas semua individu termasuk warganegaranya sendiri.

Langah tersebut diambil bagi mengurangkan jumlah kemasukan warganegara lain ke Brunei susulan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, caj berkenaan adalah terkecuali kepada individu yang berada dalam kenderaan milik kerajaan Brunei dan negara lain bagi tujuan rasmi, kenderaan untuk tujuan pengebumian, kenderaan jabatan kerajaan serta kanak-kanak yang berumur dua tahun ke bawah.

Caj Perkhidmatan yang dikenakan adalah pada kadar B$3 (RM9.30).

Tambah kenyataan itu lagi, FCP yang dimohon oleh mereka yang terlibat dikenakan bayaran yang berbeza-beza mengikut tempoh.

"Untuk tempoh sah selama sebulan, caj FCP adalah sebanyak B$50 (RM153) untuk setiap orang, manakala bagi pelajar pula adalah sebanyak B$30 (RM92).

"Bagi tempoh sah tiga bulan pula, caj adalah sebanyak B$150 (RM458) bagi mereka yang bekerja, sementara pelajar pula adalah sebanyak B$90 (RM275).

"Dan untuk tempoh enam bulan pula, caj FCP adalah berjumlah B$300 (RM916) untuk pekerja dan B$180 (RM549) untuk pelajar," jelas Konsulat Jenderal Brunei Darussalam lagi. - DagangNews.com