KUALA LUMPUR 3 Julai - Pelaksanaan solat Jumaat semakin diberi perhatian apabila ibadat tersebut kini boleh ditunaikan di mana-mana surau dan dewan yang dikira sesuai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kelulusan tersebut dikeluarkan secara rasmi selepas mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sekali gus membolehkan jemaah menunaikan ibadah fardu tersebut.
"Dalam melaksanakan perkara ini, pihak berkaitan hendaklah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) terkini yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Mulai minggu ini juga, majlis ilmu di masjid dan surau boleh dijalankan seperti biasa berdasarkan SOP serta keluasan sesebuah surau atau masjid." katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, Zulkifli turut menyarankan agar masjid dan surau tidak dikunci pada waktu biasa selain daripada waktu solat untuk memudahkan orang ramai.
"Pagar masjid dan surau disarankan agar tidak dikunci pada waktu selain daripada waktu solat. Saranan ini bagi memudahkan orang ramai terutamanya mereka yang bermusafir, penghantar makanan dan barangan serta pemandu e-hailing menunaikan kewajipan bersolat," ujarnya lagi. - DagangNews.com