Brunei sertai IFC dengan fokus perkasa sektor swasta bagi memacu perkembangan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Brunei sertai IFC dengan fokus perkasa sektor swasta bagi memacu perkembangan ekonomi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Brunei secara rasminya menyertai Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) dengan fokus memperkasakan sektor swasta dalam pasaran baharu.

 

Negara berpendapatan tinggi seperti Brunei boleh memainkan peranan dalam mengatasi cabaran pembangunan global selain memperkasakan sektor swasta untuk berkembang di dalam negara maju, mencipta peluang pekerjaan baharu bagi mengurangkan kadar kemiskinan.

 

IFC boleh membantu sektor swasta Brunei mencari peluang pelaburan baharu di pelbagai peringkat selain menjadikan syarikat berkenaan lebih berdaya saing dan membangun secara inklusif di dalam pasaran baharu yang semakin berkembang.

 

Peluang-peluang itu juga akan membantu Brunei menyertai rantaian nilai antarabangsa selain membentuk ekonomi yang mampan.

 

"Brunei Darussalam semakin aktif dalam melakukan transformasi ekonomi dan kami berazam untuk mengembangkannya pada masa akan datang. 

 

"Menerusinya lebih banyak peluang untuk jalinan kerjasama. Kami melihat IFC sebagai salah satu rakan pembangunan yang berpotensi dalam membantu  mencapai cita-cita besar kami," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Datuk Dr. Amin Liew Abdullah dalam satu kenyataan.

 

brunei

 

Sejak meraih kemerdekaan pada 1984, Brunei yang terletak di kepulauan Borneo telah menyertai pelbagai organisasi termasuk Kumpulan Bank Antarabangsa untuk Pembinaan Semula dan Pembangunan (IBRD), ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Timbalan Presiden Wilayah Asia dan Pasifik IFC, Alfonso Garcia Mora berkata, pihaknya berbesar hati dengan penyertaan Brunei sebagai ahli ke-186 dalam perbadanan itu.

 

"Kami berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Brunei dalam memperkasakan sektor swasta bagi mencipta lebih banyak peluang baharu di rantau Asia Tenggara dan dunia. Kerjasama itu juga diharap dapat menyebarkan kemakmuran dan mengurangkan kemiskinan tegar secara global," katanya. - DagangNews.com