Bukan jaminan buat Astro 'pikat' semula pelanggan, kata CGS-CIMB  | DagangNews Skip to main content

Bukan jaminan buat Astro 'pikat' semula pelanggan, kata CGS-CIMB 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Pelancaran Ultra Plug & Play Box dengan jaminan tiada gangguan siaran ketika hujan, bukan jaminan kepada Astro Malaysia Holdings Bhd untuk 'memikat' semula para pelanggannya. 

 

Astro telah lama menjadi bahan rungutan dan ejekan rakyat Malaysia disebabkan masalah cuaca meskipun ia bukan kesalahan kumpulan semata-mata memandangkan negara mempunyai iklim tropika dengan hujan sepanjang tahun.

 

CGS-CIMB sebaliknya berpendapat, ia merupakan antara banyak perkara yang cuba dilakukan syarikat itu untuk membina 'Astro baharu'.

 

"Bagaimanapun, kami melihat dengan hanya menghilangkan faktor gangguan hujan ini, tidak semestinya akan menarik semula pelanggan atau golongan milenial untuk mengambil Ultra Plug & Play Box ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Tiada lagi gangguan siaran ketika hujan dengan Ultra Plug & Play Box Astro

 

Minggu lalu, Astro melancarkan Ultra Plug & Play Box terbaharu dengan menawarkan tontonan tanpa gangguan kepada program-program tempatan dan antarabangsa, tanpa menggunakan piring satelit. 

 

Kotak terbaharu ini direka berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelangan yang menginginkan produk atau perkhidmatan yang mudah untuk dipasang dan mampu menawarkan pengalaman tontonan secara berterusan, tanpa sebarang gangguan yang dicetuskan oleh keadaan cuaca.

 

Memandangkan kotak ini disambungkan secara terus dengan internet, dan bukannya piring satelit, ia dapat membantu mengatasi masalah gangguan siaran ketika hujan.

 

CGS-CIMB berkata, dalam membina 'Astro baharu', antara strategi utama yang diambilnya adalah  menggantikan saluran antarabangsa yang kebanyakannya disiarkan semula dengan perkhidmatan penstriman pihak ketiga.

 

Untuk rekod, kumpulan sedang menyasarkan untuk membawa masuk 15 perkhidmatan penstriman menjelang akhir tahun kewangan 2021 atau 2023. 

 

"Dari segi pemasaran, Astro juga bertindak bijak kerana mengetahui kebanyakan audiensnya tertumpu di kawasan bandar dan tontonan lebih kosmopolitan.

 

"Ini membolehkan kumpulan memasarkan kotak terbaharu ini sebagai sumber sah untuk menonton Disney+ Hotstar, perkhidmatan penstriman yang lain, program Korea dan liga bola sepak perdana dengan keselesaan skrin televisyen," jelasnya. 

 

Firma itu mengunjurkan perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi bagi bagi tahun kewangan 2021/2022 sekitar RM406.9 juta berbanding tahun kewangan 2019/2021 antara RM249 hingga RM386 juta, memandangkan Astro mahu meningkatkan langganan sedia ada dengan kotak Ultra dan Ulti serta membawa masuk pelanggan baharu.

 

"Kami tidak melihat sebarang perubahan ketara dalam perbelanjaan kandungannya, memandangkan Astro akan menyalurkan saluran yang distrimnya menerusi Ultra Plug & Play Box," katanya.
 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Astro dengan harga sasaran pada RM1.51. - DagangNews.com