Buli Siber: Kita mesti sama-sama hentikan kejelekan ini! | DagangNews Skip to main content

Buli Siber: Kita mesti sama-sama hentikan kejelekan ini!

Oleh Mohd Ab Malek Md Shah dan Sulaiman Mahzan

BULI SIBER bukanlah suatu fenomena asing dalam masyarakat kita pada hari ini memandangkan yang ia selalu dijadikan bahan gurauan yang adakalanya agak keterlaluan dan melampau tanpa sebarang kawalan.

 

Hakikatnya, terdapat 3 daripada 10 remaja di Malaysia pernah menjadi mangsa buli siber berdasarkan kepada laporan oleh UNICEF melalui U Report pada tahun 2019.

 

Selain itu, sebanyak 6,598 aduan awam berkenaan gangguan dalam talian telah diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari tempoh 2020 sehingga Julai 2021.

 

Pada sisi yang lain pula, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) memaklumkan bahawa sebanyak 500 panggilan diterima setiap bulan melalui talian bantuan (helpline).

 

Lebih membimbangkan, laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mencatatkan bahawa Malaysia berada di tangga ke-2 di Asia pada tahun 2020 selepas India berkaitan dengan isu buli siber ini.

 

Situasi negatif ini secara tidak langsung boleh menjejaskan salah satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals - SDGs) iaitu merujuk kepada keamanan, keadilan dan pertubuhan kukuh.

 

Pada masa yang sama juga, isu buli siber ini turut merencatkan tonggak utama ‘Membangun Malaysia Madani’ iaitu mengganggu-gugat teras ‘hormat’ yang menyentuh konotasi maruah manusia/ adab dan teras ‘kesejahteraan’ iaitu terangkum dalam keseimbangan.


 

tnb

 


Secara harfiah, buli siber merujuk kepada sejenis buli yang berlaku dalam talian atau media sosial (gangguan siber).

 

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mentakrifkan buli siber sebagai satu perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks, laman sembang (chatting), e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet. 

 

Selain itu, buli siber turut dikaitkan dengan segala bentuk perbuatan berulang dengan tujuan untuk menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang menggunakan kemudahan komunikasi teknologi (teks, bersembang (chatting), emel, laman web sosial, telefon bimbit, permainan internet dan sebagainya.

 

Justeru, perbuatan si pembuli siber adalah suatu tindakan pencerobohan atau gangguan menggunakan teknologi terhadap privasi mangsa.

 

Antara sorotan kes yang pernah dipaparkan di dada-dada media tanahair termasuklah kes Cikgu Zack Kirana (Saliza Ibrahim) yang telah membuat laporan polis setelah dicerca dan dilemparkan dengan kata-kata kesat setelah menegur lirik lagu Casablanca berkaitan istilah ‘degup & denyut’.

 

Selain itu, R. Thivya Nayagi dilaporkan telah menamatkan nyawanya sendiri kerana tertekan dengan kecaman menerusi Tiktok.

 

Sashikala Nadarajah, seorang penghidap kemurungan turut dilaporkan telah mengambil nyawanya sendiri selepas menghadapi kecaman di TikTok.

 

Pada sisi yang lain pula, seorang influencer telah membuat satu rakaman video secara ‘live streaming’ dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang wanita dan menyamakan bentuk tubuh badan wanita tersebut dengan haiwan (18 Ogos 2020, Sinar Harian).

 

Di samping itu juga, seorang lelaki telah membuat ciapan mengenai rupa fizikal (body shaming) seorang remaja Albino supaya ‘diburu dan dikerat bagi tujuan ritual sihir’ (Astro Awani, 20 Oktober 2019).


 

Sulli (Choi Jin-ri)
Seorang lelaki memberi penghormatan kepada mendiang Sulli (Choi Jin-ri)

 


Isu buli siber ini turut memakan korban di serata global di mana dunia telah digemparkan dengan kematian bintang K-pop terkenal, Sulli (Choi Jin-ri) di mana beliau dilaporkan telah menjadi mangsa buli dan gangguan dalam talian (penderaan secara dalam talian) dengan komen melampau sekian lama dan akhirnya telah ditemui mati di kediamannya pada 14 Oktober 2019.

 

Seorang lagi bintang popular dari Korea Selatan, Jonghyun yang merupakan anggota kumpulan tersohor SHINee; telah berdepan masa sukar sehingga memakan emosi dalamannya dan akhirnya menamatkan nyawa sendiri.

 

Zayn Malik; salah seorang ahli kumpulan One Direction juga turut menjadi mangsa terhadap serangan berunsurkan perkauman (digelar pengganas). Hakikatnya, bergelar seorang bintang tersohor atau insan ternama bukanlah suatu tiket untuk tidak terlepas daripada turut menjadi korban si pembuli siber.

 

Antara modus operandi oleh si pembuli siber adalah dengan mengirim atau menyebarkan mesej yang mengganggu dan mengancam si mangsa.

 

Selain itu, si pemangsa (pembuli siber) turut menggunakan taktik kotor dengan menyalahgunakan kata laluan atau nama skrin orang lain/ menyamar sebagai orang lain; memanjangkan e-mel, foto atau video kepada orang lain, memuat naik komen atau gambar yang tidak senonoh/ jelik.

 

Lebih memburukkan lagi situasi apabila si pemangsa turut membuat ‘sexting’ iaitu dengan menghantar gambar, mesej atau video berunsurkan seksual menerusi telefon bimbit.

 

Antara punca berlakunya kes buli ini termasuklah tercetusnya rasa tidak berpuas hati atau berdendam terhadap penampilan, kemewahan dan tingkah laku oleh si mangsa dengan menggunakan identiti yang sukar dikesan atau dikenali.


 

tnb

 


Selain itu, si pembuli siber hanya berseronok dengan membuat jenaka atau sebagai suatu bahan gurauan; termasuklah melibatkan urusan peribadi si mangsa tanpa rasa bersalah.

 

Ini seterusnya akan mewujudkan suatu rasa bimbang (trauma) yang berterusan & kekal terhadap diri si mangsa apabila pembulian berlaku tanpa henti (berulang kali) & mangsa buli sukar untuk mendapatkan perlindungan.

 

Selain itu, perkongsian negatif yang bersifat kekal & terbuka akan sentiasa menghantui mangsa buli & sukar untuk dilupakan dalam jangka masa segera.

 

Pada masa yang sama, si mangsa akan turut mengalami masalah mental yang tidak stabil (gangguan emosi) di mana si mangsa akan mengalami depresi, kemurungan, perbuatan mencederakan diri sendiri sehingga ada mangsa yang sanggup membunuh diri.

 

Di samping itu, isu buli siber ini akan turut mendatangkan kesan negatif dari segi fizikal iaitu si mangsa dikhuatiri akan mengalami masalah gangguan pada pola makan dan tidur yang sentiasa berubah-ubah dek kerana terlalu memikirkan isu tersebut.

 

Ini akhirnya akan menyebabkan mangsa akan sentiasa merasa penat dan tidak bermaya.

 

Pada sisi yang lain pula, terdapat suatu kebarangkalian bahawa isu buli siber ini boleh menyebabkan si mangsa berpotensi untuk kehilangan sumber pendapatan.


 

tnb

 


Ini kerana si mangsa akan hilang motivasi dan tahap produktiviti turut terjejas di mana akhirnya boleh dipecat atau dibuang kerja akibat fitnah di media sosial.

 

Ini seterusnya akan mewujudkan suatu suasana yang kurang elok dan tidak harmoni antara rakan sekerja dan boleh merenggangkan hubungan sesama mereka.

 

Jika ditinjau dari segi lunas-lunas perundangan negara, secara dasarnya tiada akta atau undang-undang yang spesifik berkenaan buli siber di Malaysia sehingga kini.

 

Namun begitu, dalam mendepani isu yang kian tular ini, rujukan utama boleh dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber perundangan tertinggi di Malaysia (Keluhuran Perlembagaan) berdasarkan kepada Artikel 10 (Bahagian II) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan secara jelas lagi nyata bahawa setiap hak dan kebebasan bersuara (selain daripada hak untuk berhimpun secara aman dan berpersatuan) bagi setiap warganegara Malaysia dijamin di sisi Perlembagaan Persekutuan.

 

Walaupun begitu, peruntukan undang-undang turut menyatakan bahawa hak tersebut adalah tertakluk kepada Fasa (2), (3) dan (4); bukannya secara total dan bersifat mutlak”.

 

Ini dapat ditafsirkan bahawa Parlimen diberikan autoriti untuk melaksanakan sekatan perundangan demi kepentingan awam secara keseluruhan.

 

Selain itu, rujukan lain yang boleh dijadikan sebagai punca kuasa termasuklah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan 1950, Akta Fitnah 1957 dan Akta Jenayah Komputer 1997.

 

Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menyatakan bahawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

 

Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588):

(a) tiada mana-mana orang yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang lain.

 

Seksyen 233 (1) (a) & (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588):  

(ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menggangu orang lain;  

 

Seksyen 509 Kanun Keseksaan 1950 pula menyebut bahawa:

 “Perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang”


 

tnb

 


Dari kaca mata Kanun Keseksaan (Bab XXII Menakutkan Secara Jenayah, Aib dan Kegusaran) 1950 pula, seseorang boleh dikenakan tindakan jika melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah (Seksyen 506); selain daripada melakukan jenayah di bawah Seksyen 506 dengan menyembunyikan identiti mereka yang mana si pesalah boleh dikenakan tindakan tambahan menurut Seksyen 507.

 

Akta Fitnah 1957 pula memperuntukkan pemulihan (remedy) kepada orang yang reputasinya telah dirosakkan atau dicemarkan kepada umum seperti ucapan atau pernyataan yang bersifat fitnah dan sebagainya.

 

Selain itu, Akta Hakcipta 1987 turut berperanan dalam melindungi pemilikan karya asli seperti gambar dan video yang dihasilkan. Ini bermakna orang lain dilarang berkongsi atau mengedarkan karya tersebut tanpa izin.

 

Ini sejajar dengan peruntukan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 bagi mengawal akses haram kepada bahan-bahan komputer seperti menggodam dan mengintip tanpa izin.

 

Sebagai perbandingan dengan senario buli siber di Indonesia, sumber rujukan utama perundangan Indonesia adalah berpakasikan Undang-Undang Tahun 8 tahun 1981 (dikenali sebagai Kitab Undang-Undang Hukum Acara Pidana (KUHAP) - The Umbrella Act.

 

Undang-Undang Nomor 19 Tahun 2016: Perubahan Atas Undang-Undang Nomor 11 tahun 2008 tentang Informasi dan Transaksi Elektronik pasal 45 ayat (3):

“Setiap orang yang dengan sengaja dan tanpa hak mendistribusikan dan/ atau mentrasmisikan dan/ atau membuat dapat diaksesnya Informasi Elektronik dan/ atau pencemaran nama baik sebagaimana dimaksud dalam Pasal 27 ayat (3) dipidana dengan pidana penjara paling lama 4 (empat) tahun dan/atau denda paling banyak Rp750.000.000,00 (tujuh ratus lima puluh juta rupiah)”.

 

Dari perspektif syariah pula, memang tidak dapat dinafikan sama sekali bahawa Islam sesungguhnya amat menitikberatkan dan memelihara karamah insaniah (kemuliaan insan) dengan sebaik-baik kejadian.

 

Ini dapat dibuktikan menerusi firman Allah dalam Al-Qur’an; antaranya menerusi Surah Al-Isra’: 70:

“Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam”

 

“Maksudnya: Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat !”

Surah Al-Kahf: 49

 

“Maksudnya: Dan Kami jadikan tangan-tangan mereka berbicara, dan kaki-kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka kerjakan dahulu”

Surah Yaasin: 65

 

Setiap dalil ini jelas menunjukkan bahawa Islam amat menjunjung tinggi prinsip Maqasid Syariah dalam tabir urus yang berkesan iaitu berkaitan dengan urusan memelihara nyawa dan kehormatan (hifz an-nafs) setiap khalifah Allah dalam mewujudkan suasana yang harmoni dan saling menghormati sesama insan.


 

tnb

 


Rumusannya, langkah kerajaan untuk menggubal akta khusus antibuli siber yang melibatkan agensi berkaitan termasuklah Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, CyberSecurity Malaysia dan Majlis Peguam adalah suatu inisiatif yang baik dan wajar dipuji.

 

Ini cukup signifikan dalam usaha ke arah untuk mengekang dan seterusnya membanteras gejala negatif ini daripada terus melarat dalam kalangan warga masyarakat.

 

Ini juga berkait rapat dengan hak dan tanggungjawab demi kemaslahatan bersama menurut lunas-lunas perundangan dan demi mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu ‘Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh & Kesihatan Baik dan Kesejahteraan’.

 

Selain itu, ini juga sejajar dengan penerapan 6 teras utama negara dalam merealisasikan dan seterusnya memperkasakan konsep “Membangun Masyarakat Madani” yang sejahtera lagi seimbang secara tuntas. - DagangNews.com

 

 

Mohd Ab Malek bin Md Shah adalah Koordinator/ Pensyarah Kanan Jabatan Undang-Undang dan Sulaiman bin Mahzan adalah Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Media UiTM Cawangan Melaka