Bungkusit gunakan blockchain, mudahkan pelanggan | DagangNews Skip to main content

Bungkusit gunakan blockchain, mudahkan pelanggan

 

 

KUALA LUMPUR 30 April - Bungkusit, aplikasi penghantaran keempat terbesar di Malaysia akan menggunakan teknologi blockchain bagi meningkatkan ketelusan pengguna, menyelesaikan pertikaian dan meningkatkan keselamatan pengguna.

 

Ia membuat pengumuman itu menerusi hantaran di blog Medium, pada Rabu melibatkan sesi temu bual dengan Pengarah Serantau VeriDoc, Aliasgar Abbas seperti dipetik Coindesk.

 

Platform pengesahan berasaskan blockchain VeriDoc Global itu membantu aplikasi menerapkan penyelesaian blockchain ke dalam sistem mereka yang memerlukan sekitar 3 hingga 4 minggu untuk diselesaikan.

 

Abbas berkata, penggunaan blockchain dapat menjadi penyelesaian ideal yang boleh digunakan sebagai titik rujukan dan pengesahan yang dipercayai. 
 

Apabila penghantaran berjaya dibuat, kod QR akan dihasilkan supaya pengguna boleh mengimbas untuk mengetahui pesanan penghantaran. 

 

Ketika proses itu, gambar penghantaran, tempahan, lokasi dan butiran penghantaran dan direkod dan disimpan di dalam blockchain.

 

Menurut Abbas, penyelesaian ini membolehkan aplikasi itu menjamin kredibiliti peniaga dalam kalangan pengguna terutama apabila platform masih menggunakan kaedah konvensional seperti nama dan tanda tangan untuk tujuan pengesanan.

 

"Bagi perniagaan penghantaran dan melibatkan pelbagai rakan kerjasama penghantaran, ini adalah penyelesaian ideal yang boleh digunakan sebagai titik rujukan dan pengesahan," katanya. - DagangNews.com