Bursa Malaysia dijangka catat ADV lebih tinggi pada FY23 'disuntik' sentimen PRU15 | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia dijangka catat ADV lebih tinggi pada FY23 'disuntik' sentimen PRU15

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Nov - Hari pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang jatuh pada 19 November ini boleh memberi 'rahmat' kepada aktiviti dagangan di Bursa Malaysia Bhd. kerana pelabur meletakkan pendedahan dagangan mereka mengikut jangkaan terhadap hasil yang bakal diperoleh.

 

Menurut Kenanga Research, dagangan yang lebih tinggi itu berkemungkinan akan merebak ke tahun berikutnya memandangkan kesesuaian dasar mengikut iklim politik.

 

Namun, katanya, 2023 masih dijangka menjadi tahun yang lebih cerah dari segi keseluruhan dagangan kerana output pengeluaran ekonomi yang lebih besar mungkin menjadi kenyataan untuk menyokong sentimen yang lebih baik dan meningkatkan selera pelabur konservatif yang diketepikan.

 

"Selain daripada perkembangan yang tidak dijangka atau konflik global yang semakin teruk, pelabur asing mungkin kembali ke pasaran tempatan apabila ketidaktentuan semakin reda.

 

"Oleh itu, kami menyemak semula unjuran keuntungan Bursa Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 2% dan 1%, dengan nilai purata dagangan harian (ADV) dinaikkan kepada RM2 bilion berbanding RM1.8 bilion pada suku keempat.

 

"Ini mengambil kira lebih banyak aktiviti dagangan berikutan PRU15 lebih awal daripada jangkaan, di samping mengubah sedikit ADV FY23 kami kepada RM2.3 bilion (daripada RM2.23 bilion) berikutan situasi makro global yang lebih baik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Untung bersih Bursa Malaysia pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 susut kepada RM50.13 juta daripada RM79.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan bagi tempoh itu juga menurun kepada RM140.36 juta daripada RM173.98 juta.

 

Ini menyaksikan untung bersihnya bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, susut 38.8% kepada RM177.6 juta daripada RM290.3 juta ekoran hasil operasi yang lebih rendah terutamanya dagangan sekuriti. Susulan itu, pendapatan juga susut kepada RM457.44 juta daripada RM602.36 juta.

 

Dalam tempoh sembilan bulan, pasaran sekuriti merekodkan hasil dagangan sebanyak RM203 juta, susut 43.6% berbanding RM359.9 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Penurunan ini disebabkan nilai purata dagangan harian (ADV) yang lebih rendah untuk Dagangan Dalam Pasaran Pasaran Sekuriti (OMT) dan Dagangan Perniagaan Langsung (DBT) bagi tempoh itu sebanyak RM2.2 bilion berbanding RM4 bilion bagi tempoh sama 2021.

 

Menurut Kenanga Research, untung bersih sebanyak RM11.6 juta dalam tempoh sembilan bulan adalah memenuhi jangkaannya, merangkumi 74% daripada anggarannya dan 77% konsensus bagi tahun kewangan penuh.

 

"PRU15 yang lebih awal daripada jangkaan akan mencetuskan dagangan yang lebih teguh pada suku keempat dengan permulaan ADV yang lebih baik. 

 

"Namun, sentimen kekal tidak dapat dibandingkan dengan dagangan peringkat pandemik tetapi ekonomi tempatan yang semakin pulih harus memberikan sokongan secara progresif," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap Bursa Malaysia dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM6.60 daripada RM6.50 sesaham sebelum ini.

 

Setakat 9.29 pagi, harga sahamnya susut 7 sen atau 1.09% kepada RM6.38 dengan 24,700 saham diniagakan. - DagangNews.com