KUALA LUMPUR 30 Sept - Bursa Malaysia telah menegur secara terbuka dan mendenda enam pengarah Brem Holding Bhd dengan jumlah RM450,000 kerana melanggar peraturan penyenaraian.
Menurut bursa, enam pengarah itu telah melanggar perenggan 8.23(2)(a)(i) yang dibaca bersama perenggan 8.23(1)(a)(ii) & (iii) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR Utama) kerana gagal memastikan pembayaran/pendahuluan kepada GJH Prestige Sdn Bhd (GJHP).
"Bayaran berjumlah RM26.46 juta (pendahuluan) adalah adil dan munasabah kepada syarikat dan tidak merugikan syarikat dan pemegang sahamnya," katanya.
"Penemuan pelanggaran dan tindakan penalti ke atas pengarah BREM dibuat menurut perenggan 16.19 (1)(b) LR Utama," kata bursa dalam kenyataan di sini.
Pengarah yang terlibat ialah Tan Sri Khoo Chai Kaa selaku Pengarah Urusan syarikat diberi teguran terbuka dan dengan RM200,000; Pengarah Eksekutif Khoo Chai Thiam (RM50,000); Pengarah Eksekutif Low Yew Hwa (RM50,000); bersama tiga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Wong Miow Song (RM50,000); Khoo Hui Keam (RM50,0000) dan Khoo Hui Giok (RM50,000).
Menurut bursa, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif ketika pelanggaran tersebut berlaku, Datuk Abu Sujak Mahmud telah meninggal dunia pada 11 Februari 2021.
Menurut bursa lagi, lembaga pengarah bergantung sepenuhnya kepada pengarah urusan untuk memastikan pematuhan perenggan 8.23 LR Utama dan memberikannya kuasa penuh.
Ini termasuk bukan sahaja untuk berunding dan memuktamadkan terma dan syarat pengambilalihan GJHP tetapi juga untuk membuat sebarang pembayaran kepada GJHP tanpa had tertentu.
Bursa berkata penalti yang lebih tinggi dikenakan ke atas pengarah urusan kerana beliau berada dalam kedudukan penting untuk memastikan pendahuluan itu mematuhi perenggan 8.23 LR Utama memandangkan peranan/penglibatan utamanya dalam rundingan dan pemerolehan GJHP serta kebenaran/kelulusan pengeluaran wang pendahuluan kepada GJHP.
“Terdapat pengabaian tugas yang serius oleh pengarah urusan yang bukan sahaja gagal menjaga kepentingan Brem dan pemegang sahamnya.
"Mereka juga terus meluluskan pendahuluan sehingga 22 Ogos 2019 tanpa penilaian dan pertimbangan keperluan LR Utama, termasuk peningkatan dan pertimbangan sewajarnya oleh lembaga pengarah," katanya.
Bursa berkata pelanggaran perenggan 8.23 LR Utama memerlukan hukuman pencegahan teguran awam dan denda untuk menggariskan pandangan serius yang diambil olehnya. - DagangNews.com