Bursa membenarkan Serba Dinamik lanjutan masa untuk terbitkan laporan tahunan sehingga 15 Disember | DagangNews Skip to main content

Bursa membenarkan Serba Dinamik lanjutan masa untuk terbitkan laporan tahunan sehingga 15 Disember

Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) itu dikehendaki mengeluarkan laporan kepada Bursa Malaysia dan pemegang saham dalam tempoh empat bulan dari penutupan tahun kewangan, yang jatuh pada 31 Oktober 2022.- Gambar Muhammad Amzar b. Jailani

KUALA LUMPUR 2 Nov - Serba Dinamik Holdings Bhd telah diberikan lanjutan masa oleh Bursa Malaysia untuk mengeluarkan laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22).

 

Bagaimanapun, lanjutan masa yang diberikan oleh Bursa Malaysia Securities kepada penyedia perkhidmatan minyak dan gas yang bermasalah kewangan itu hanya sehingga 15 Disember depan, bukannya 31 Jan 2023 seperti yang diminta oleh Serba Dinamik.

 

Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) itu dikehendaki mengeluarkan laporan itu kepada Bursa Malaysia dan pemegang saham dalam tempoh empat bulan dari penutupan tahun kewangan, yang jatuh pada 31 Oktober.

 

Serba Dinamik dalam pemakluman di Bursa Malaysia menyatakan syarika itu tidak dapat mengeluarkan laporan itu tepat pada masanya kerana kelewatan dalam penyiapan audit oleh juruaudit luar bagi penyata kewangan FY22.

 

Untuk FY22, syarikat itu mencatatkan kerugian bersih RM1.09 bilion, atas hasil RM1.35 bilion. Tiada angka perbandingan disebabkan oleh perubahan kumpulan pada akhir tahun kewangan kepada 30 Jun, dari 31 Disember.

 

Dalam pemakluman berasingan pada hari Selasa, Serba Dinamik berkata ia sedang mengkaji untuk merangka pelan penyelarasan keadaan kewangannya, sambil menyatakan bahawa ia mempunyai kira-kira dua bulan untuk menyerahkan pelan penyusunan semula kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk kelulusan.

 

"Syarikat akan membuat pengumuman yang diperlukan mengenai pelan penyusunan semula, mengikut keperluan di bawah PN17," katanya.

 

Serba Dinamik terperosok ke dalam status PN17 pada Januari lalu, selepas juruaudit luarnya Nexia SSY PLT menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021.

 

Nexia berkata bahawa beberapa faktor telah menghalang penyiapan audit kumpulan itu, termasuk ketiadaan laporan mengenai semakan bebas yang dijalankan oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd.

 

Harga saham Serba Dinamik tidak berubah pada dua sen pada Selasa, menjadikan kumpulan itu permodalan pasaran RM74.5 juta. - DagangNews.com