CACEIS selesai pengambilalihan operasi RBC Investor Services di Eropah dan Malaysia | DagangNews Skip to main content

CACEIS selesai pengambilalihan operasi RBC Investor Services di Eropah dan Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - CACEIS telah menyempurnakan pengambilalihan operasi RBC Investor Services di Eropah dan Malaysia daripada Royal Bank of Canada (RBC),

 

Dengan transaksi ini, CACEIS memperoleh liputan antarabangsa yang lebih luas dan tawaran yang diperluaskan untuk semua pelanggannya dan meliputi keseluruhan rantaian nilai, CACEIS mengukuhkan kedudukan utamanya dalam perkhidmatan aset Eropah.

 

Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, urus niaga ini telah menerima semua kelulusan kawal selia dan undang-undang antipakat yang diperlukan, menggabungkan dua operasi perkhidmatan aset yang kukuh di Eropah.

 

CACEIS yang merupakan anak syarikat kumpulan Crédit Agricole dan Santander telah membeli aktiviti perkhidmatan aset Eropah yang dimiliki oleh RBC Investor Services dan pusat kecemerlangannya yang berkaitan di Malaysia.

 

Sementara itu, pengambilalihan CACEIS bagi perniagaan RBC Investor Services Trust cawangan United Kingdon dan perniagaan RBC Investor Services di Jersey dijangka dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang, tertakluk kepada penerimaan kelulusan kawal selia yang diperlukan.

 

Penjualan operasi tersebut mempunyai kesan minimum terhadap RBC, dari segi nisbah ekuiti biasa Tahap 1 (CET1) dan pendapatan sesaham (EPS).

 

Ketua Pegawai Eksekutif CACEIS, Jean-Pierre Michalowski yakin pengambilalihan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan CACEIS sebagai penyedia perkhidmatan aset yang berada di barisan paling hadapan.

 

 

Jean-Pierre Michalowski
Jean-Pierre Michalowski

 

 

“Dengan individu-individu yang bermotivasi bekerja secara kolektif untuk berkhidmat kepada pelanggan, kami berada di landasan yang betul,” tambahnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif RBC Investor Services, Francis Jackson menambah bahawa pelanggan dan pekerja syarikatnya akan mendapat manfaat sebagai sebahagian daripada pengambilalihan yang dijangka menjadi salah satu pembekal perkhidmatan aset terbesar di Eropah.

 

 

Francis Jackson
Francis Jackson

 

 

“Kami percaya perkhidmatan yang saling melengkapkan, skala gabungan dan kepakaran bersama perniagaan RBC Investor Services di Eropah dan CACEIS akan membawa lebih banyak peluang kepada pekerja dan nilai besar kepada pelanggan,” ujar beliau. - DagangNews.com