Cadangan penempatan persendirian tidak akan keluarkan Pharmaniaga daripada status PN17- Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Cadangan penempatan persendirian tidak akan keluarkan Pharmaniaga daripada status PN17- Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Cadangan Pharmaniaga Berhad untuk melaksanakan penempatan persendirian untuk saham terbitannya tidak akan mengeluarkan mereka daripada status Nota Amalan 17 (PN17) tetapi membantu membiayai modal kerja kumpulan buat sementara waktu.

 

Kenanga Research berkata, langkah itu akan memberikan mereka masa untuk merumuskan rancangan terbaik untuk menyusun semula keadaan kewangan kumpulan itu.

 

Katanya, rancangan itu menyaksikan kumpulan itu melaksanakan penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham terbitannya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu yakin dengan prospek mereka disokong pelan pemulihan strategik untuk keluar daripada status PN17 dan sedang merangka pelan penyusunan semula.

 

Firma itu mengunjurkan pertumbuhan pendapatan FY23 pada tahap yang sama seperti pra-COVID, dengan purata RM40 juta RM60 juta didorong oleh pesanan tetap untuk bekalan perubatan daripada konsesi Kementerian Kesihatan.

 

"Kami berpandangan 'neutral' terhadap langkah kumpulan ini kerana ia dilihat sebagai antara langkah perlu ketika mereka mencari penyelesaian menyeluruh untuk keluar daripada status PN17," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu kekal berhati-hati dengan ekuiti pemegang saham negatif sebanyak RM143 juta pada 31 Mac 2023 menghalang keupayaannya untuk menjelaskan dividen, dan kerajaan sedang mencari kontrak dengan nilai yang lebih baik yang menyaksikan kumpulan itu perlu menawarkan kadar baharu yang lebih kompetitif.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk pelantikan syarikat konsesi baharu oleh kerajaan, pelan penyusunan PN17 yang kurang berkesan kepada pemegang saham sedia ada dan penswastaan pada premium yang ketara kepada harga pasaran semasa.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 33 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com