Cadangan pengambilalihan bangunan KWSP bolehkan Menara AIMS berkembang - HLIB | DagangNews Skip to main content

Cadangan pengambilalihan bangunan KWSP bolehkan Menara AIMS berkembang - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif dengan cadangan pengambilalihan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh TIME Dotcom Bhd (TIME) kerana ia membolehkan Menara AIMS untuk berkembang selepas pengunaannya kini mencapai kapasiti 98%.

 

Bangunan KWSP yang terletak bertentangan dengan Menara AIMS bakal memberikan kemudahan dari segi operasi dan logistik. 

 

Selain menjadi pusat data, TIME merancang untuk menempatkan perkhidmatan sokongan di dalam bangunan itu dan mereka menjangkakan fasa pertama pengambilalihan bangunan KWSP itu akaan lengkap pada penghujung 2023.

 

"Cadangan pengambilalihan itu membolehkan TIME untuk menambah ruang bagi tujuan pengembangan operasi dan pihak pengurusan TIME mendapati bangunan berkenaan berada dalam keadaan baik untuk menampung aktiviti operasi.

 

"Pembelian bangunan KWSP pada harga RM62 juta dibuat berdasarkan persetujuan pembeli selepas mengambil kira nilai pasaran yang dinilai oleh 3 penilai berdaftar bebas dan pembelian itu akan disempurnakan secara tunai menerusi dana dalaman.

 

"Perjanjian ini bagaimanapun tidak memerlukan persetujuan pemegang saham TIME, namun perjanjian jual dan beli (SPA) tertakluk kepada kelulusan Unit Perancangan Ekonomi dan Kelulusan Statutori," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Semalam Lembaga Pengarah TIME menerusi anak syarikatnya, AIMS Data Centre Sdn Bhd (ADC) memeterai perjanjian SPA bersyarat bersama Lembaga KWSP.

 

Perjanjian melibatkan cadangan pengambilalihan bangunan pejabat 13 tingkat bersama 95 petak parkir kereta dikenali sebagai Bangunan KWSP Changkat Raja Chulan pada pertimbangan tunai RM62 juta, mengikut terma dan syarat ditetapkan di bawah SPA.

 

HLIB mengulangi saranan 'beli' untuk saham TIME pada harga RM5.61 sesaham dengan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 8% dan TG sebanyak 1.5% untuk syarikat telekomunikasi tempatan.  

 

Firma itu melihat, TIME sedang meraih momentum menerusi pengembangan operasinya dan penghasilan produk bernilai tinggi selain pusat data mereka akan mempunyai daya tahan tinggi. - DagangNews.com