Cadangan pengambilalihan Hesechan, NationGate perlu lebih ruang bagi rancangan pengembangan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Cadangan pengambilalihan Hesechan, NationGate perlu lebih ruang bagi rancangan pengembangan - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - Kenanga Research percaya bahawa cadangan NationGate Holdings Bhd mengambil alih Hesechan Industries Sdn Bhd adalah bagi mendapatkan lebih banyak ruang untuk menyokong rancangan pengembangannya.

 

Kumpulan itu mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Hesechan daripada syarikat swasta Heap Seong Chan Company Sdn Bhd dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM25 juta.

 

Hesechan yang terlibat dengan perniagaan pergudangan, perdagangan am dan penyediaan perkhidmatan logistik, mempunyai tanah pajakan seluas 2.4 hektar dengan bangunan yang mempunyai keluasan lantai kasar 88,000 kaki persegi, bersebelahan dengan kilang 5 NationGate di Perai, Pulau Pinang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah itu berpunca daripada penempatan semula lebih banyak pengeluaran bagi pelanggan penghantar-terima optik yang berpangkalan di China ke Pulau Pinang.

 

ARTIKEL BERKAITAN: NationGate beli keseluruhan 100% kepentingan Hesechan Industries bernilai RM25 juta di Pulau Pinang

 

"Kumpulan itu juga mengalami peningkatan jumlah pesanan lebih tinggi daripada segmen komunikasi dan pengkomputeran pintar yang menyebabkan mereka memerlukan lebih banyak ruang lantai pengeluaran.

 

"Dengan RM96 sekaki persegi, kami percaya kumpulan itu mendapat tawaran yang berpatutan berdasarkan harga yang ditawarkan antara RM88 hingga RM125 untuk sekaki persegi bagi tanah perindustrian kosong di Perai, manakala tanah yang diperoleh NationGate adalah bangunan dengan ruang yang boleh digunakan.

 

"Pengambilalihan itu akan meningkatkan hutang bersih dan penggearan kumpulan sebanyak kepada RM107.4 juta dan 0.3x yang masing-masing boleh diurus," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana pendedahannya kepada produk perindustrian dan komersial dalam sektor telekomunikasi, kemudahan sedia ada Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) akan mengambil alih pekerjaan yang lebih kompleks dan perkhidmatan nilai tambah yang menghasilkan margin keuntungan lebih baik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP)  RM1.70 sesaham," katanya.- DagangNews.com