Caely tarik balik pelantikan Jovian Mandagie atas alasan `salah komunikasi' | DagangNews Skip to main content

Caely tarik balik pelantikan Jovian Mandagie atas alasan `salah komunikasi'

Datuk Jovian Mandagie

KUALA LUMPUR 17 Jun - Hanya tiga hari selepas Datuk Jovian Mandagie dan Sandraruben Neelamagham dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di Caely Holdings Bhd, pembuat pakaian dalam itu telah mengumumkan penarikan balik pelantikan itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Caely memetik bahawa "pelantikan pengarah tidak dikuatkuasakan kerana salah komunikasi".

 

Ini berlaku selepas Jovian mendakwa Caely membuat pengumuman palsu kepada Bursa Malaysia pada 14 Jun lalu, berhubung pelantikannya sebagai naib pengerusi eksekutif (EVC) syarikat itu kerana tiada perjanjian yang menunjukkan penerimaannya terhadap pelantikan itu.

 

"Saya tidak bersetuju menerima pelantikan sebagai EVC Caely.

 

"Saya ingin menegaskan lagi bahawa saya tidak melaksanakan sebarang borang dan/atau perjanjian yang menunjukkan penerimaan saya terhadap pelantikan tersebut...

 

"Oleh itu, saya dengan ini menyatakan bahawa pengumuman yang dibuat oleh Caely berhubung pelantikan saya adalah palsu, tidak benar dan mengelirukan orang ramai," kata Jovian, yang merupakan pengarah kreatif peruncit pakaian Cheetah Corp (M) Sdn Bhd, dalam satu kenyataan pada Khamis.

 

"Pengumuman palsu yang dibuat oleh Caely, sebagai syarikat tersenarai awam, mengenai pelantikan saya sebagai EVC telah mencemarkan reputasi korporat, perniagaan dan peribadi saya.

 

"Saya memandang serius perkara ini, dan saya akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini untuk meneruskan segala cara perlu melaporkan salah laku sedemikian kepada pihak berkuasa yang berkaitan (contohnya Bursa dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia [SC]),” katanya.

 

Jovian ialah menantu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - DagangNews.com