Caj RM1 pengeluaran antara bank di ATM dikenakan semula 1 Februari 2022 | DagangNews Skip to main content

Caj RM1 pengeluaran antara bank di ATM dikenakan semula 1 Februari 2022

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan dikenakan semula kepada pelanggan berkuatkuasa 1 Februari 2022.

 

Beberapa bank termasuk Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC telah memuat turun notis berkenaan di platform media sosial hari ini.

 

Dalam makluman di media sosial, Maybank telah menyatakan bahawa mulai 1 Februari, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.

 

"Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank," demikian menurut bank itu.


 

bank

 


Menurut CIMB, "Pelanggan yang dihormati, berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic."

 

Menurut makluman Bank Islam pula, "Bagi pemegang kad Bank Islam, tiada caj dikenakan untuk pengeluaran menggunakan ATM Bank Islam."


 

bank

 


Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.

 

Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu dikenakan caj RM1.

 

Caj RM1 yang dikenakan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) kepada pelanggan.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) adalah pemegang saham terbesar dalam PayNet, manakala baki sahamnya dikuasai konsortium 11 bank. - DagangNews.com