CAMU bantah RUU Kesatuan Sekerja, dakwa pandangan pekerja tidak dipedulikan | DagangNews Skip to main content

CAMU bantah RUU Kesatuan Sekerja, dakwa pandangan pekerja tidak dipedulikan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Okt - Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) kekal membantah tindakan kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kesatuan Sekerja di Parlimen pada Isnin lalu.

 

RUU tersebut telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2023, setelah RUU asal yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022 terbatal ekoran pembubaran Parlimen ke -14 pada 10 Oktober 2022.

 

Kali ini, di dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas 2023, RUU tersebut telah diluluskan pada 10 Oktober 2023.

 

Pengerusi CAMU, Rudy Rusly berkata, pihaknya telah membantah sebahagian daripada RUU ini sejak tahun lepas apabila RUU tersebut dibentangkan selepas bacaan pertama.

 

Katanya, segala pandangan dan cadangan CAMU telah disampaikan kepada beberapa ahli Parlimen, Ketua-Ketua Politik, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara dan juga pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia serta Ketua Pegawai dari agensi Kementerian Sumber Manusia.

 

“Sememangnya, CAMU melihat proses meluluskan RUU tersebut ibarat satu misteri dan proksi kepada sesuatu agenda yang sememangnya menekan warga pekerja Malaysia.

 

“Ia telah dijalankan dengan begitu pantas sekali dan secara tergesa-gesa tanpa mempedulikan keluh resah warga pekerja yang sentiasa terdedah kepada eksploitasi yang berterusan.

camu

“CAMU kesal dengan kelulusan tersebut kerana segala pandangan, kerisauan dan cadangan yang diberikan di dalam semua perjumpaan terdahulu tidak didengar oleh penggubal undang-undang yang sepatutnya meneliti dengan lebih mendalam,” kata beliau dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Rudy berkata, segala kesan-kesan negatif dan implikasi buruk sekiranya pindaan yang mewujudkan kepelbagaian Kesatuan Sekerja diadakan tidak didengar langsung.

 

CAMU merupakan satu gabungan yang terdiri daripada 38 Kesatuan Sekerja dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) yang terdiri daripada lebih 100 Kesatuan Sekerja cukup memahami dan mengambil berat dengan rintihan suara pekerja dan sentiasa berada di lapangan dalam menangani apa-apa isu berkaitan dengan gerakan kesatuan sekerja di Malaysia.

 

Rudy menambah, pPastinya sebagai golongan pekerja yang juga rakyat Malaysia yang membayar cukai serta orang yang memilih pemimpin hari ini sebagai kerajaan langsung tidak diambil pandangan pekerja apabila amat memerlukannya.

 

“Pemimpin-pemimpin ini tidak langsung mempedulikan kesan-kesan negatif yang akan berlaku setelah pindaan RUU ini diluluskan.

 

“Dengan keadaan ekonomi dan kos harga barang yang terlalu lemah untuk dikawal, pindaan RUU ini sekaligus menambahkan beban yang lebih berat kepada warga pekerja Malaysia,” ujarnya.

 

Rudy berkata, keadaan ini pastinya tidak selari dengan konsep Kerajaan Madani yang sepatutnya lebih prihatin tentang masalah warga pekerja yang semakin menekan hidup rakyat.

 

“Mitos kononnya RUU ini akan memberikan lebih suara dan kebebasan kepada pekerja tetapi sebaliknya akan menyebabkan pekerja akan terus jadi hamba dan terus berpecah-belah. Adakah ini yang dimahukan oleh Kerajaan Madani yang kononnya mementingkan perpaduan?,” katanya. - DagangNews.com