Canon, USM bekerjasama demi memupuk kreativiti dan memajukan pendidikan tinggi  | DagangNews Skip to main content

Canon, USM bekerjasama demi memupuk kreativiti dan memajukan pendidikan tinggi 

Kiri ke kanan: Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli; Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Shunji Yoshikai dan Masato Yoshiie, Pengarah Kanan Solusi Pengimejan Perniagaan di Canon Marketing Malaysia pada majlis memeterai MoA di kampus USM Pulau Pinang pada 26 Julai 2023.
Oleh Mohamad Iman

PULAU PINANG 27 Julai - Canon Marketing Malaysia, rumusan pengimejan terkemuka dunia menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk meningkatkan kualiti pendidikan melalui pendigitalan disamping memupuk bakat kreatif tempatan.

 

Kedua-dua organisasi ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang mengukuhkan lagi perkongsian selama tiga tahun Canon sebagai Rakan Kongsi Pengimejan Rasmi & Teknologi Pintar USM.

 

Kerjasama antara Canon dan USM akan menyaksikan transformasi digital di menara gading ini seiring dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkasa ekosistem perkhidmatan pendidikan tinggi melalui pendigitalan.

 

Kerjasama ini akan menjadi contoh aplikasi falsafah "Kyosei" Canon untuk bekerja demi kebaikan bersama serta merealisasikan matlamat USM iaitu “Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok” dengan memanfaatkan kepakaran industri Canon bersama kecemerlangan USM dalam akademik. 

 

Presiden dan CEO Canon Marketing Malaysia, Shunji Yoshikai berkata, melalui kerjasama strategik ini juga, Canon merebut peluang untuk memperkasakan para pelajar dengan kemahiran serta pendedahan kepada dunia korporat pada era digital.

 

"Kami amat berbangga dapat menyokong dan memupuk generasi graduan baharu yang bersedia memegang peranan dalam pelbagai industri,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

MoA ini merangkumi pelbagai aspek kerjasama termasuk bengkel, penajaan, serta mencipta peluang kepada para pelajar USM. Dengan rangkaian produk pengimejan input dan output Canon yang lengkap diberi keutamaan oleh pihak USM, maka syarikat ini akan menjadi aset penting kepada perjalanan transformasi digital USM dalam memperkasakan ekosistem selain meningkatkan kecekapan. 

 

Canon juga akan mengendalikan bengkel fotografi dan videografi sebanyak 4 kali setahun untuk pelajar dan staf USM demi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan mereka.

 

Canon akan menaja Festival Filem Anak Muda (FFAM) yang dianjurkan oleh Sekretariat Protégé USM dan Dewan Budaya USM bagi memupuk kerjaya untuk bakat kreatif dalam industri. Canon juga akan meminjamkan kamera untuk menyokong usaha kreatif pelajar yang menganjurkan festival ini.

 

Dengan itu, pelajar-pelajar USM dapat memanfaatkan kepakaran industri Canon dalam pameran kerjaya, ceramah serta jerayawara di kampus yang akan datang, dan menjadikan Canon sebagai rakan penempatan dan latihan praktikal. Para pelajar USM mempunyai kelebihan dari segi perkembangan kemahiran, pendedahan industri, serta peluang kerjaya dengan adanya sokongan daripada Canon.

 

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, dengan menyepadukan kepakaran industri serta pengetahuan akademik, USM dapat melahirkan pelajar yang bersedia menyumbang kemahiran mereka untuk industri kreatif dan digital secara berkesan.

 

"Diharap agar kerjasama rapat bersama Canon ini dapat merealisasikan visi lestari kami serta ekosistem pendidikan yang sedia buat masa hadapan,” kata beliau. - DagangNews.com