Capaian internet isi rumah tahun 2020 hampir 100% - Jabatan Perangkaan | DagangNews Skip to main content

Capaian internet isi rumah tahun 2020 hampir 100% - Jabatan Perangkaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 April - Peratusan capaian internet isi rumah meningkat kepada 91.7% bagi tahun lalu berbanding 90.1% pada 2019, menurut Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM). 

 

Capaian isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 98.6% dan 77.6% pada 2020, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin. 

 

Ujar beliau, tinjauan yang dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 memberi kesan di mana penggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia berusia 15 tahun ke atas meningkat dengan ketara kepada 89.6% pada 2020 berbanding 84.2% pada 2019.

 

“Aktiviti internet yang paling popular di Malaysia adalah menyertai rangkaian sosial.

 

dosm

 

“Walau bagaimanapun, semasa pandemik, penggunaan internet meningkat dengan ketara bagi perkhidmatan berkaitan aktiviti pembelajaran, e-kesihatan, e-kerajaan, e-dagang dan hiburan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, aktiviti yang berkaitan dengan perkhidmatan itu melibatkan pesanan barangan atau perkhidmatan dalam talian; mendapatkan maklumat kesihatan; menggunakan perbankan internet; dan menjalani kursus tidak formal atas talian. 

 

Selain itu, turut menyaksikan aktiviti-aktiviti menjalani kursus formal atas talian; membeli barangan atau perkhidmatan melalui e-Dagang; menonton televisyen secara dalam talian; dan mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan, yang secara signifikan meningkat melebihi 7.0 mata peratus.

 

Katanya lagi, peratusan membuat pesanan barangan atau perkhidmatan dalam talian seperti melalui telefon, WhatsApp dan Facebook juga meningkat kepada 54.4% pada 2020 daripada 22.5% pada 2019.

 

“Kira-kira 61.9% masyarakat Malaysia menggunakan perbankan internet pada 2020, bertambah 11.4 mata peratus daripada 50.5 peratus pada 2019.

 

"Tanpa mengambil kira saluran pembelajaran dalam talian melalui internet, individu yang mengikuti kursus tidak formal dalam talian meningkat daripada 9.5% kepada 20.8% pada 2020, lonjakan 11.3 mata peratusan, manakala peningkatan yang ketara dalam peratusan individu yang mengikuti kursus formal dalam talian iaitu 8.1% pada 2019 kepada 18.0% pada 2020, meningkat 9.9 mata peratusan,” ujar Mohd. Uzir.

 

dosm

 

Mengenai e-dagang, Mohd Uzir berkata, pembelian barangan atau perkhidmatan melalui e-dagang seperti Shoppe, Lazada dan Grab meningkat kepada 45%  pada 2020 daripada 35.2% pada 2019.

 

"Peratusan pengguna internet menggunakan saluran e-kerajaan bagi mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan turut meningkat sebanyak 7.4 mata peratus daripada 45.5% pada 2019 kepada 52.9% pada 2020," katanya. - DagangNews.com