Capital A catat faktor muatan positif sebanyak 76% bagi 1Q22 | DagangNews Skip to main content

Capital A catat faktor muatan positif sebanyak 76% bagi 1Q22

KUALA LUMPUR 28 April - Capital A Berhad mencatatkan faktor muatan positif sebanyak 76% manakala kapasiti 4.9 juta penumpang yang dibawa pada1Q22 berdasarkan sijil pengendali udara (AOC) yang disatukannya.

 

Syarikat pegangan AirAsia Aviation Group itu berkata, ia merupakan prestasi yang lebih baik dicatatkan menerusi AOC merentas metrik pengoperasian utama semasa tempoh yang dinilai.

 

“Jumlah penumpang yang dibawa meningkat sebanyak 284% kepada 3.7 juta tahun ke tahun pada suku pertama 2022, mendorong peningkatan 9.0 mata peratusan (ppts) bagi faktor muatan,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Capital A berkata, kumpulan juga memperkenalkan kapasiti tambahan sebanyak 238% tahun ke tahun untuk menyokong lonjakan permintaan di samping sekatan perjalanan yang dilonggarkan di seluruh operasi kumpulan.

 

“Susulan itu, tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) meningkat sebanyak 223% dan perolehan daripada kilometer yang dilalui penumpang (RPK) melonjak sebanyak 264% tahun ke tahun, terutamanya dipacu oleh pemulihan perjalanan domestik yang kukuh dan pelonggaran sekatan perjalanan secara beransur-ansur pada suku pertama 2022," katanya.

 

Bagi AirAsia Malaysia, bilangan penumpang yang dibawa dan kapasiti masing-masing melonjak 464% dan 455% berbanding suku yang sama tahun lalu.

 

Prestasi itu didorong oleh penyambungan semula sejumlah besar penerbangan domestik tambahan. dan pelancaran semula banyak laluan domestik untuk menghubungkan ramai orang antara bandar utama, terutama semasa musim perayaan.

 

Pada suku pertama 2022, faktor beban meningkat sebanyak 1.0 ppts tahun ke tahun kepada 74%, manakala ASK melonjak 475% dan RPK meningkat 476% tahun ke tahun.

 

“Pencapaian yang sangat memberangsangkan ini dipacu oleh penambahan kekerapan penerbangan domestik sejajar dengan peningkatan permintaan dan juga kempen promosi yang berlangsung pada suku pertama 2022,” katanya.

 

Menurut Capital A, AirAsia Indonesia juga mencapai faktor muatan lebih baik iaitu 76% bagi suku itu, melonjak 20 ppts tahun ke tahun, dengan penumpang yang dibawa dan kapasiti masing-masing menokok 126% dan 141% dari suku ke suku.

 

Sementara itu, AirAsia Filipina terus merekodkan faktor muatan tertinggi bagi kumpulan dengan 86% pada tempoh sukuan itu, meningkat sebanyak 12 mata ppts tahun ke tahun, tidak terganggu dengan peningkatan mendadak kes varian Omicron di Filipina dalam tempoh tersebut.

 

“Pada suku pertama 2022, bilangan tempat duduk yang dijual dan kapasiti meningkat masing-masing 233% dan 186% berbanding angka tempoh yang sama 2021.

 

“Begitu juga dengan ASK dan bilangan penerbangan masing-masing melonjak 203% dan 186% tahun ke tahun, dengan sokongan permintaan besar musim panas susulan pengesahan kerajaan Filipina mengenai protokol perjalanan yang lebih longgar,” katanya. - DagangNews.com