KUALA LUMPUR 2 Oct - CapitaLand telah memulakan inisiatif kitar semula fabrik, menerusi kerjasama dengan Kloth Cares, yang bukan hanya bermatlamat untuk menyingkirkan fabrik daripada menjejaskan tapak pelupusan tetapi juga menyemai amalan kitar semula yang bertanggungjawab dalam kalangan pembeli.
Oleh itu, CapitaLand mengajak orang ramai untuk membawa pakaian lama dan barangan fabrik tidak digunakan ke tong kitar semula fabrik baharu yang disediakan di The Mines dan 3 Damansara di Lembah Klang.
Masyarakat setempat kini boleh mengitar semula pakaian lama, aksesori pakaian, selipar dan kasut, beg, barangan tekstil, mainan kanak-kanak dan cebisan fabrik lain.
Tong kitar semula fabrik tersebut telah disediakan di Tingkat 1, The Mines (South Court) bersebelahan pasar raya Lotus dan Lif Lobi 6, tempat letak kereta Basement 2 di 3 Damansara.
Semua barangan fabrik yang dikumpulkan itu akan diasingkan mengikut kategori bahan berbeza di kilang kitar semula fabrik yang ditetapkan, manakala barangan bersesuaian akan didermakan kepada rumah kebajikan.
Menerusi usaha kitar semula ini, CapitaLand berhasrat untuk mengumpul kira-kira 12,000 kg barangan fabrik setiap tahun di Malaysia.
Bagi mencapai sasaran ini, The Mines dan 3 Damansara akan menganjurkan siri kempen untuk menyemai kesedaran kitar semula dalam kalangan masyarakat.
Satu daripada acara kemuncak kempen ini adalah penebusan ganjaran ‘Recycle, Post and Redeem’ yang kini telah bermula dan tamat pada 31 Disember 2023, di mana peserta yang menepati syarat penebusan akan diberikan baucar menarik atas usaha kitar semula mereka.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai kempen tersebut perlu mengikuti dan ‘like’ laman Facebook dan Instagram The Mines atau 3 Damansara.
Seterusnya, ambil gambar swafoto ketika meletakkan barangan fabrik yang tidak digunakan itu ke dalam tong kitar semula fabrik di The Mines atau 3 Damansara.
Muat naik gambar swafoto tersebut di laman FB dan Instagram anda bersama hashtag #TMGoGreen #TMKlothcares #RecycleBersama untuk The Mines dan #3DGoGreen #3DKlothcares #RecycleBersama untuk 3 Damansara. Ubah tetapan Facebook dan Instagram anda ke tetapan umum (public).
Tunjuk gambar swafoto yang telah dimuat naik di laman Facebook atau Instagram kepada kakitangan kaunter maklumat kami di The Mines (Tingkat 3, East Court) dan 3 Damansara (Tingkat Bawah, Centre Concourse) untuk menebus baucar. - DagangNews.com