KUALA LUMPUR 2 Dis. - Platform pengaktifan kad kredit digital, CardUp menjalinkan kerjasama dengan Visa untuk melancarkan penyelesaian perniagaan baharu yang membolehkan perniagaan mengakses kredit dengan segera bagi pembayaran antarabangsa dengan harga berpatutan.
Pelancaran penyelesaian berkenaan juga adalah bersempena dengan kehadiran perkhidmatan CardUp di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nicki Ramsay berkata, pihaknya gembira dapat memperluas perkhidmatan CardUp dalam perniagaan Malaysia yang kerap berdepan dengan masalah aliran tunai dan cabaran pengurusan hutang secara digital dalam tempoh norma baharu pandemik.
"Kami melihat peluang ini untuk menolong mereka dengan kemudahan pembayaran perniagaan secara digital dan lebih fleksibel sekali gus membolehkan kelangsungan perniagaan mereka.
"Dengan pelancaran di Malaysia ini, kami dapat membantu perniagaan untuk memanfaatkan jalur kad kredit yang ada dengan mudah untuk membantu mereka mengatasi masalah aliran tunai dalam tempoh yang tidak menentu ini.
"Kerjasama kami dengan Visa membolehkan kami melipatgandakan fleksibiliti kerana kemudahan BPSP (Penyedia Pembayaran Perniagaan Visa) kami mempunyai harga yang kompetitif dan lebih mudah berbanding jalur kredit konvensional," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Meskipun pasaran kiriman wang global dimonopoli oleh kiriman bank ke bank, penyelesaian baharu CardUp membolehkan pembayaran dilakukan melalui kad kredit kepada pembekal luar.
Ini bermaksud, perniagaan boleh menggunakan had kredit yang ada untuk menunda aliran keluar perbelanjaan hingga dua bulan, dengan pembayaran ke lebih 100 buah negara.
Seperti yang didaftarkan melalui Visa BPSP, CardUP menyediakan kemudahan pembayaran berikut kepada perniagaan dan rakan perbankan.
Perniagaan
Membolehkan pembayaran B2B pada kad kredit
- CardUp membolehkan perniagaan menggunakan kad kredit yang dimiliki untuk membayar perbelanjaan perniagaan kepadan pihak yang tidak menerima kad termasuk urusan gaji, invois pembekal dan lain-lain.
Meningkatkan aliran tunai
- Perniagaan boleh meningkatkan aliran tunai mereka dengan menggunakan kad kredit melalui platform CardUp untuk memperoleh kredit selama dua bulan tanpa faedah dan pantas.
Proses digital
- CardUp menyediakan paparan perniagaan digital di mana mereka dapat menjadualkan pembayaran berulang dan memantau status pembayaran dalam satu lembaran untuk tujuan kelancaran pembayaran.
Penjimatan kos dan masa
- Perniagaan dapat menikmati penjimatan kos tambahan melalui ganjaran kad yang diperoleh melalui perbelanjaan perniagaan tersebut selain dapat menjimatkan masa dan kos melalui automasi dan penyatuan pembayaran domestik dan anatarabangsa dalam satu platform
Rakan perbankan
Peluang mendapatkan lebih ramai pelanggan dan prospek pertumbuhan perniagaan.
- Bank dan rangkaian pembayaran boleh mendapatkan manfaat melalui peningkatan liputan, perbelanjaan tambahan dalam sektor yang tidak menerima kad serta usaha pendigitalan yang maju. - DagangNews.com