KETIKA COVID-19 mula melanda, seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan agar jangan “ke sana dan ke sini”, tetapi kita bersyukur kerana pengalaman kita terperap di dalam rumah kini telah berlalu.
Memandangkan hampir semua orang di Malaysia sudah menerima vaksin, sudah tiba masanya untuk kembali merancang “ke sana dan ke sini” dan meneroka beberapa permata tersembunyi di negara ini.
Dalam usaha mencari permata percutian ini, tiada tempat yang lebih baik daripada negeri Sarawak di pulau Borneo yang penuh misteri.
Menempatkan flora dan fauna antara yang paling sukar ditemui di dunia, suasana indah, keajaiban alam semula jadi, dan antara penduduk paling ramah di dunia, Sarawak menawarkan pengembaraan yang tiada tandingan.
Lebih menarik lagi, Lembaga Pelancongan Sarawak kini bekerjasama dengan Malaysia Airlines dalam kempen Sia Sitok Sarawak Plus untuk memberi peluang kepada semua orang menikmati keindahan dan menyingkap keajaiban tersembunyi di negeri terbesar Malaysia.
Kempen Sia Sitok Sarawak Plus menawarkan 57 pakej pelancongan ke seluruh negeri Sarawak menerusi Journify dan pelbagai pakej pelancongan tergabung (termasuk penerbangan dan penginapan) dengan MHholidays. Tempoh tempahan adalah dari sekarang hingga 28 Februari, bagi tempoh perjalanan dari sekarang hingga 30 April 2022.
Berikut adalah antara pakej pelancongan hebat yang boleh anda nikmati daripada kempen Sia Sitok Sarawak Plus.
KUCHING
Merakit buluh
Nikmati pengalaman menyusuri Sungai Sirin di Kuching dengan rakit buluh, sambil melalui alur buluh dan hutan hujan menuju ke kampung Bidayuh di mana anda boleh menjamu selera dengan makanan tradisional seperti rotung, kubar, dan linut.
Kampung Sting
Digelar Kampung Atas Awan oleh penduduk tempatan, Kampung Sting adalah sebuah kampung terpencil di Banjaran Bengoh, yang diibaratkan sebagai “Jurassic Park” Sarawak.
Syurga keindahan alam semula jadi ini menempatkan air terjun, tasik dan persekitaran yang indah permai. Pengembara yang mahu menyertai aktiviti lebih mencabar boleh berjalan menyusuri Empangan Bengoh, untuk melihat pemandangan yang menakjubkan.
SIBU
Bumi Melanau
Pelancong boleh menyelami budaya dan gaya hidup Melanau dengan lawatan ke Sibu yang menjanjikan keunikan budaya dan makanan tradisional.
Perjalanan singkat menaiki bot laju menyusuri sungai Igan membawa anda ke bandar Dalat di mana anda boleh melihat sendiri bagaimana biji sagu diproses, dan cara membuat kuih kapit atau lebih dikenali kuih sepit di sini.
Lawatan ke Kampung Tellian, sebuah kampung air Melanau, pasti membuatkan anda seronok mendengar cerita dongeng dan legenda penduduk tempatan, dan jika anda mahu melihat sesuatu yang benar-benar unik, saksikan bagaimana ulat sagu (lazat dimakan selepas dimasak) dikutip.
Lawatan ke pasar tempatan membolehkan anda menjamu mata (dan membeli) hasil kraf tangan Melanau seperti Terendak.
Menginap di rumah panjang
Di Sarikei, anda boleh mencuba pengalaman menginap rumah panjang di Rumah Nyuka, dikelilingi kehijauan hutan hujan tebal dan deruan air terjun.
Dibina pada tahun 1955, Rumah Nyuka dibuat daripada kayu belian (kayu keras tropika) yang tidak ditelan zaman. Kini, ia menjadi kediaman kira-kira 300 orang dari 45 keluarga.
MIRI
Lawatan ke Mulu
Lawatan ke Taman Negara Mulu ibarat kembali ke zaman purba yang diselubungi keindahan puncak batu kapur, air terjun, sungai, dan rangkaian gua termasyhur dunia yang penuh dengan kepelbagaian hidupan liar.
Lawatan ke kawasan yang disenaraikan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO ini adalah satu kemestian jika anda mengunjungi Sarawak, sama ada anda mendambakan pengembaraan lasak atau sekadar ingin melihat sendiri satu daripada keajaiban alam semula jadi paling menakjubkan di Borneo.
Ba’Kelalan
Terletak di Tanah Tinggi Maligan, kira-kira 3,000 kaki di atas paras laut, Ba’Kelalan meliputi himpunan sembilan kampung Lun Bawang. Penduduk di sini menanam pokok buah-buahan iklim sederhana termasuk epal, limau mandarin, dan vanila yang hidup subur dalam kedinginan iklim pergunungan.
Ba’Kelalan juga terkenal dengan keluaran beras merah, hitam, dan putih semula jadi yang ditanam hanya sekali setahun.
Penerangan ini hanya gambaran ringkas tentang keunikan Sarawak dan satu-satunya cara untuk menikmati pengalaman yang mencetus kenangan terindah ialah mengunjungi sendiri negeri yang dikenali sebagai Bunyi Kenyalang ini.
Apa yang anda tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menerokai keunikan Sarawak.
Kunjungi Journify di https://shop.myjournify.com/store/sia-sitok-sarawak-plus-339 untuk menempah pakej lawatan eksklusif dan dan layari https://holidays.malaysiaairlines.com untuk menempah penerbangan dan penginapan anda sekarang! – DagangNews.com