Carlo Rino peroleh persetujuan Bursa Malaysia pindahkan kaunter saham ke Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Carlo Rino peroleh persetujuan Bursa Malaysia pindahkan kaunter saham ke Pasaran ACE

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kumpulan fesyen Carlo Rino Group Bhd memperoleh kelulusan Bursa Malaysia untuk cadangan pemindahannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Carlo Rino berkata bursa itu telah memberi kebenaran untuk pemindahan penyenaraian keseluruhan modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan berjumlah 977.52 juta saham.

 

Cadangan pemindahan itu akan melibatkan tawaran awam permulaan (IPO), yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 171.87 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan sehingga 87.98 juta saham sedia ada, menurut draf prospektus yang difailkan oleh Carlo Rino pada April.

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian itu akan menawarkan pelabur 26.58% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Carlo Rino pertama kali mencadangkan pemindahan ke ACE Market pada Ogos tahun lalu, selepas disenaraikan di Pasaran LEAP sejak November 2018.

 

 

Carlo Rino Group Bhd

 

 

Carlo Rino adalah syarikat pereka bentuk dan menjual beg tangan, kasut dan aksesori wanita di bawah jenama "Carlo Rino" dan "C.Rino" (untuk cermin mata sahaja) daripada 36 butik di pusat beli-belah dan lima butik di kedai premium di Malaysia. Syarikat itu juga menghantar produknya ke 82 kaunter kedai pasar raya dan memasarkan produknya dalam talian.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY2023), syarikat itu memperoleh keuntungan bersih RM23.85 juta dengan hasil RM113.53 juta. Margin untung kasar ialah 61.71% manakala margin keuntungan sebelum cukai ialah 27.7%.

 

Hasil daripada terbitan awam IPO telah diperuntukkan terutamanya untuk pembinaan dan pemasangan butik perdana baharu, baik pulih butik dan kaunter sedia ada di gedung pasar raya, serta untuk penyelenggaraan infrastruktur IT.

 

 

Chiang Sang Sem
                                                              Chiang Sang Sem

 

 

Sementara itu, hasil daripada tawaran jualan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih akan terakru sepenuhnya kepada pemegang saham jualan, Datuk Seri Chiang Fong Yee. Beliau adalah pengarah urusan semasa dan anak kepada pengasas Carlo Rino, Chiang Sang Sem yang juga menubuhkan Bonia Corp Bhd.

 

TA Securities telah dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.

 

Saham Carlo Rino ditutup tidak berubah pada 29 sen pada Isnin, memberikannya permodalan pasaran RM 233.64 juta. - DagangNews.com