Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Okt – Pusat Pilihan Pengguna atau The Consumer Choice Center (CCC) mengumumkan bahawa ia sudah mengemukakan cadangan tiga perkara bagi Bajet 2021 kepada Kerajaan Malaysia yang bertujuan melindungi pengguna daripada isu pasaran gelap.
Kumpulan advokasi pengguna global ini berkata, pasaran gelap hari ini merupakan ancaman paling serius dan semakin meningkat terhadap pengguna-pengguna di Malaysia. Produk-produk yang tidak sah ini membahayakan pengguna kerana ia tidak dikawal selia dan kualitinya sangat buruk, malah bertoksik.
Menurut CCC, pasaran gelap Malaysia bernilai RM300 bilion kini menuju ke tahap `boom’ disebabkan ramai yang kehilangan kerja, kebimbangan terhadap jaminan pekerjaan dan perubahan tabiat membeli akibat pandemik COVID-19 yang berterusan sekarang.
Pengarah Urusan CCC, Fred Roeder berkata, pasaran rokok seludup misalnya, menjejaskan semua pengguna di Malaysia kerana ia mengakibatkan Kerajaan kerugian RM5 bilion dari segi cukai yang tidak dapat dikutip setiap tahun, merosakkan peruncit sah dan menyemarakkan rasuah di semua peringkat sektor awam.
“Malaysia kini menerajui dunia dari segi pasaran rokok seludup, menguasai pasaran lebih 62% dari segi jumlah keseluruhan rokok yang dijual. Jika produk sebegitu boleh dengan mudah memasuki pasaran negara, bagaimana barangan lain seperti dadah, bahan farmaseutikal yang tiada tauliah atau barangan palsu?,” soal Roeder.
“Bajet 2021 memberikan peluang ideal bagi Kerajaan Malaysia untuk menangani pasaran gelap secara tegas dan menyeluruh bagi menjaga kesejahteraan pengguna Malaysia dan memperkasa semula ekonomi negara,” kata Roeder dalam kenyataan di sini.
Tiga perkara bagi Bajet 2021 yang dicadangkan oleh CCC adalah:
- Pembiayaan bagi mendidik pengguna. Peruntukkan khas disediakan oleh Kementerian dan agensi Kerajaan yang berkaitan bagi mengadakan jerayawara ke seluruh negara bagi mendidik pengguna dan menghalang mereka daripada membeli produk pasaran gelap.
- Mengkaji semula struktur eksais dan melakukan perubahan terhadap cukai. Perubahan berstruktur diperlukan bagi menutup jurang harga antara produ sah, yang kini diletakkan pada harga yang jauh tinggi disebabkan cukai dan duti eksais, berbanding produk seludup. Jika perbezaan harga adalah kecil, pengguna akan memilih produk sah dan penjenayah pasaran gelap akan kehilangan motivasi untuk menyeludup masuk barangan tidak sah.
- Pembiayaan untuk penguatkuasaan yang lebih baik, terutama di ruang e-dagang. Agensi penguatkuasaan berkaitan seharusnya dilengkapkan dengan sumber-sumber yang diperlukan bagi membanteras pasaran gelap. Ledakan pengguna membeli barangan secara dalam talian di bawah norma baharu ini telah memberikan penjenayah pasaran gelap satu kaedah dan peluang baharu. Pihak berkuasa mestilah diberikan pembiayaan dan teknologi baharu bagi mencantas ancaman ini sebelum menjadi tidak dapat dikawal.
Pusat Pilihan Pengguna (The Consumer Choice Center) adalah kumpulan advokasi pengguna yang menyokong kebebasan gaya hidup, inovasi, privasi, sains dan pilihan pengguna. Bidang dasar utama yang kami tumpukan adalah digital, mobiliti, barangan gaya hidup & pengguna, serta kesihatan dan sains.
CCC mewakili pengguna di lebih 100 negara di seluruh dunia. Kami memantau rapat trend perundangan di Kuala Lumpur, Ottawa, Washington, Brussels, Geneva dan hotspot perundangan lain dan memaklumkan serta mengaktifkan pengguna supaya berjuang untuk #ConsumerChoice. Ketahui lebih lanjut di consumerchoicecenter.org - DagangNews.com