Central Global kembali catat untung bersih RM1.89 juta untuk suku pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

Central Global kembali catat untung bersih RM1.89 juta untuk suku pertama 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Central Global Berhad kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM1.89 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2022 berbanding kerugian bersih RM1.03 juta untuk suku sama pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan kumpulan itu juga melonjak sebanyak 25% atau RM9.48 juta kepada RM47.04 juta berbanding tahun lalu.

 

Segemen pembinaan kumpulan itu meneruskan trajektori menaik dengan menjana RM31.06 juta pendapatan pada suku pertama tahun ini sekali gus menyumbang 66% daripada pendapatan keseluruhan berbanding RM20.20 juta atau 54% sumbangan pada tahun lalu.

 

Peningkatan pendapatan itu adalah hasil daripada projek berterusan Sistem Bekalan Air Fasa 1 RYRT Lahad Datu dan kemajuan projek Montage.

 

Segmen pembuatan menyumbang 34% atau RM15.99 juta pendapatan kumpulan bebranding RM17.36 juta pada suku sama tahun lalu dan sumbangan pendapatan yang rendah itu adalah keranan kekurangan jualan eksport.

 

Walaupun mencatatkan pendapatan yang rendah, segmen pembuatan menghasilkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM0.54 juta untuk tahun ini berbanding RM0.51 juta pada tahun lalu.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Chew Hian Tat berkata, lembaga pengarah dan pengurusan kumpulan bekerjasama untuk memperbaiki strategi perniagaan dan ia mula membuahkan hasil selepas sekian lama mencatatkan kerugian.

 

Katanya, fokus utama kumpulan itu adalah dalam segmen pembinaan sejak beberapa tahun lalu dan mereka akan terus memberi fokus dalam menyiapkan projek yang sedang dijalankan termasuk Montage dan projek Sistem Bekalan Air Fasa 1 RYRT Lahad Datu

 

"Pada masa sama, kami akan memulakan projek baharu kumpulan seperti kondominium Quinton, kerja-kerja untuk apartment Sri Bayu dan kondominium Montage.

 

"Walaupun segmen pembinaan di Malaysia akan kekal mencabar, kami sudah mengambil langkah yang perlu untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti kumpulan selain memastikan aliran tunai kekal optimum," katanya. - DagangNews.com