PUTRAJAYA 12 Jun - Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa esok, umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini.
Mohd Zuki berkata, pelantikan itu selaras dengan Perkara 105 (1) Perlembagaan Persekutuan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
"Pelantikan beliau adalah berdasarkan kepada kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam," kata Mohd Zuki dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: PAC: Kerajaan diminta tidak lantik bekas KSU sebagai ketua juruadit negara
Wan Suraya sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Usahawan, serta beberapa kapasiti di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi & Pemantauan), lapor Bernama.
Wan Suraya menggantikan Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid yang tamat kontrak sebagai Ketua Audit Negara pada Februari lepas. - DagangNews.com