CGS-CIMB Futures lancar Niaga Hadapan Patuh Syariah, penuhi pemintaan terhadap pelaburan mampan | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Futures lancar Niaga Hadapan Patuh Syariah, penuhi pemintaan terhadap pelaburan mampan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - CGS-CIMB Futures Sdn. Bhd. melancarkan Niaga Hadapan Patuh Syariah (SCF) pertamanya bagi menambah baik akses pelabur tempatan dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pelaburan yang mampan.

 

Menerusi SCF, pelabur kini boleh berdagang dalam Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit (FCPO) dan Kontrak Hadapan Minyak Isirung Sawit Mentah (FPKO) yang disenaraikan di Derivatif Bursa Malaysia di dalam persekitaran patuh syariah.

 

Penasihat Syariah CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd., Profesor Dr. Aznan Hasan berkata, FCPO dan FPKO telah diumumkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai produk patuh syariah. 

 

"Kami gembira kerana CGS-CIMB Futures telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan persekitaran patuh syariah yang lengkap di mana pelanggan boleh berdagang tanpa perlu risau terlibat dalam dalam pendapatan tidak patuh syariah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Kumpulan Perkhidmatan Pelaburan Syariah CGS-CIMB Securities, Ruzi Rani Ajith berkata, matlamat utama mereka adalah menawarkan peluang kepada pelabur untuk melabur mengikut prinsip mereka dalam mencapai objektif pelaburan mereka selain menjana impak yang mampan dan positif. 

 

"Dalam keadaan pasaran yang mencabar, pelabur mungkin mempertimbangkan untuk menggunakan kontrak niaga hadapan untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka. 

 

"Kami telah menerima sambutan menggalakkan daripada pelabur sejak prapelancarannya pada Persidangan Pelaburan Syariah 2022 dengan kerjasama Bursa Malaysia,” katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen organisasi untuk membantu pelabur membuat keputusan yang lebih baik untuk masa depan yang mampan, CGS-CIMB Futures menyediakan pedagang dan pelindung nilai yang berminat dengan platfom SCF patuh syariah yang lengkap dalam mempelbagaikan portfolio mereka dan mendapat manfaat daripada keumpilan dagangan (leverage trading). 

 

CGS-CIMB Futures akan menganjurkan beberapa siri webinar untuk membantu pelabur memaksimumkan potensi dagangan niaga hadapan patuh syariah dan memahami ciri keumpilan dan risiko yang berkaitan. - DagangNews.com