KUALA LUMPUR 19 Ogos - Gas Malaysia Bhd. menjangkakan jumlah jualan gas akan menurun pada 2022 ekoran penggunaan yang lebih rendah daripada pelanggan sedia ada terutamanya syarikat pengeluar sarung tangan getah, demikian menurut CGS-CIMB Research.
Firma itu mendapati jumlah jualan gas pada suku kedua susut 4% suku ke suku dan tahun ke tahun apabila kumpulan kehilangan 22 pelanggan sedia ada disebabkan liberalisasi pasaran sejak tahun ini.
Ia menyaksikan 21 syarikat menamatkan kontrak setakat akhir 2021 manakala satu syarikat pada suku kedua disebabkan penutupan operasi perniagaan.
"Gas Malaysia tidak menjangkakan penamatan kontrak selanjutnya, kerana majoriti pelanggan lamanya telah memperbaharui kontrak mereka dengan tempoh kontrak berbeza pada akhir 2021.
"Kumpulan telah memperoleh 32 pelanggan baharu dan tiga projek pengembangan pada separuh pertama 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, keuntungan bersih Gas Malaysia melonjak kepada RM107.34 juta daripada RM62.34 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2021.
Prestasi itu didorong terutama oleh keuntungan kasar dan pendapatan kewangan lebih tinggi serta kos kewangan lebih rendah di samping sumbangan lebih tinggi daripada syarikat usaha sama, dan diimbangi sebahagian oleh perbelanjaan pentadbiran lebih tinggi.
Pendapatan turut meningkat 29.2% kepada RM1.78 bilion seiring dengan harga jualan purata gas lebih tinggi, sejajar dengan harga pasaran global, diimbangi oleh jumlah jualan gas asli yang rendah pada suku tersebut.
Menurut CGS-CIMB, kadar Cukai Makmur dijangka lebih tinggi pada separuh kedua sejajar dengan pendapatannya yang lebih tinggi.
Pada suku kedua, katanya, kadar cukai meningkat sedikit kepada 25% berbanding 24% pada suku pertama, memandangkan kumpulan sudah mula menanggung perbelanjaan yang lebih tinggi ekoran impak Cukai Makmur.
Firma itu mendapati purata harga jualan gas pada separuh pertama adalah sekitar RM35 hingga RM36/GJ, dan purata harga jualan gas lebih tinggi di atas RM40/GJ pada Julai 2022.
"Gas Malaysia memberi panduan harga jualan gas kemungkinan lebih tinggi pada separuh kedua sebelum kembali normal pada 2023.
"Oleh itu, kami menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 3 hingga 12% berikutan margin yang lebih tinggi daripada harga jualan purata gas yang lebih tinggi," katanya.
Sejajar dengan semakan itu, ia menaikkan harga sasaran Gas Malaysia kepada RM3.56 daripada RM3.40 sebelum ini.
Firma itu turut mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Gas Malaysia setelah mengambil kira prospek pendapatannya stabil dan dividen yang baik.
Setakat 9.17 pagi, harga saham Gas Malaysia menokok 12 sen atau 3.69% kepada RM3.37 dengan 135,000 saham diniagakan. - DagangNews.com