CGS-CIMB mulakan liputan terhadap Kotra dengan saranan 'tambah' TP RM4.76 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB mulakan liputan terhadap Kotra dengan saranan 'tambah' TP RM4.76

Produk Appeton menyumbang kira-kira 60% hingga 65% hasil bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021. - Gambar : Facebook Appeton Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Sept - CGS-CIMB Research memulakan liputan terhadap Kotra Industries Bhd. dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran (TP) RM4.76 sesaham.

 

Disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, firma itu menganggarkan Kotra ialah pengeluar produk farmaseutikal over-the-counter (OTC) tersenarai kedua terbesar berdasarkan pendapatan yang direkodkan pada 2021. Setakat ini, Kotra mengendalikan dua kemudahan pengeluaran di Melaka.

 

Menurutnya, jenama produknya, Appeton menyumbang kira-kira 60% hingga 65% hasil bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 (FY21). 

 

Selain itu, ia juga menghasilkan ubat etika generik (preskripsi) dalam pelbagai bentuk dos di bawah jenama Axcel dan Vaxcel yang membentuk baki 35% hingga 40% daripada jualan. 

 

"Kami percaya kelebihan Kotra adalah pembinaan jenama Appeton yang kukuh, menerusi pengiklanan dan promosi yang strategik dan penggunaan keupayaan analitik bagi merancang/menilai kempen pemasaran.

 

"Ini membolehkannya memperoleh kuasa penetapan harga yang lebih baik, dengan produknya berharga premium antara 5% hingga 89% berbanding produk yang setanding daripada jenama lain.

 

"Oleh itu, kami berpendapat ia akan membawa kepada pulangan ke atas ekuiti (ROE) bagi FY23 sebanyak 20.9% berbanding sektor farmaseutikal di negara ini dengan purata 14.6%, termasuk Apex Healthcare Bhd.," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Perbelanjaan untuk farmasi swasta di Malaysia sepatutnya meningkat berikutan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan.

 

Ia secara tidak langsung akan meningkatkan jualan ubat generik memandangkan ia merangkumi kira-kira 45% hingga 50% daripada jualan setakat akhir 2018 dan pada purata harga tiga kali lebih rendah daripada pengeluar asing.

 

Menurut CGS-CIMB, Kotra ialah penerima manfaat utama, dengan penggunaan jenama dan kapasiti pengeluaran yang baik sekitar 35% hingga 40%.

 

Firma itu berkata, kumpulan juga merancang untuk memperkukuhkan penyertaannya dalam pasaran eksport sedia ada terutama ASEAN dan Afrika, dengan memperluaskan lagi portfolio produk dan membida lebih banyak tender kerajaan.

 

"Kami melihat pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur dan isu rantaian bekalan serta logistik yang semakin berkurangan akan meningkatkan eksport pada FY23, yang turut mendapat manfaat daripada kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya. - DagangNews.com