CGS-CIMB naikkan harga sasaran Gamuda kepada RM4.05 dengan saranan 'tambah' | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB naikkan harga sasaran Gamuda kepada RM4.05 dengan saranan 'tambah'

Gambar : Facebook Gamuda
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Mac - CGS-CIMB Research mengulangi saranan 'tambah' terhadap Gamuda Bhd. dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM4.05 daripada RM3.88 sebelum ini selepas ia meraih kontrak bagi projek terowong di Australia. 

 

Semalam, Gamuda mengumumkan memenangi bidaan bagi Projek Pakej Terowong Sydney Metro West — Western Tunneling bernilai RM6.5 bilion menerusi konsortium Gamuda Australia dan Laing O'Rourke Australia.

 

Gamuda akan mengetuai kontraktor bagi projek tersebut yang dijangka bermula pada April 2022 manakala Laing pula bertindak sebagai rakan kongsi penghantaran yang menyediakan perkhidmatan pengurusan projek dengan bayaran yang dipersetujui.

 

Penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, setakat ini, termasuk kontrak yang baru diperoleh bagi pembinaan stesen dan terowong Defu di Singapura bernilai RM870 juta (nilai efektif pada pegangan 60%), Gamuda sudah meraih RM7.4 bilion kerja-kerja terowong. 

 

Katanya, pemerolehan itu meningkatkan 3 kali ganda nilai kontraknya setakat akhir Februari kepada RM10.4 bilion. 

 

"Bagi Gamuda, pertumbuhan nilai kontrak luar negaranya tertumpu kepada 3 pasaran utama iaitu Singapura, Taiwan dan Australia - yang disokong oleh pengangkutan awam yang agresif dan rancangan pembinaan kerja awam bawah tanah dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

 

"Kini Australia dilihat sebagai pasaran pertumbuhan yang lebih menarik dengan tender dalam perancangan bernilai A$15 bilion dengan sasaran potensi perolehan bidaan antara A$5 hingga A$6 bilion atau kira-kira 30% kadar kejayaan. 

 

"Ini boleh dikatakan melebihi prospek kerja-kerja pembinaan di Malaysia, pada pandangan kami," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Gamuda raih projek terowong di Australia bernilai RM6.5 bilion

 

Menurut Sharizan, dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang, kumpulan akan menyaksikan nilai projeknya meningkat 2 kali ganda kepada RM20 bilion. 

 

Beliau menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Gamuda bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 8.4 hingga 18% selepas mengambil kira nilai projek RM10.4 bilion dengan margin sebelum cukai pada 10%.

 

"Kami melihat hasil daripada pembinaan akan kembali meningkat pada FY22. Dengan mengambil kira peningkatan ketara bagi tender dalam perancangan, kami meningkatkan anggaran perolehan kontrak daripada RM1 hingga RM2 bilion setahun kepada RM5 bilion setahun bagi FY23 hingga FY24. 

 

"Bagi FY22, kami percaya peningkatan lagi RM7.4 bilion perolehan setakat ini adalah daripada projek rawatan air Rasau (RM2 bilion), cadangan projek tebatan banjir di Selangor (menyamai terowong Smart RM1 hingga RM2 bilion) dan bidaan tender secara berterusan di Australia," jelasnya. 

 

Setakat 9.25 pagi ini, harga saham Gamuda menokok 6 sen atau 1.94% kepada RM3.16 dengan 772,100 saham diniagakan. -DagangNews.com