Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov - CGS-CIMB berpandangan 'neutral' terhadap pelaksanaan Cukai Makmur seperti diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022, pada 29 Oktober lalu.
Ini memandangkan pengumuman tersebut menyebabkan pasaran tempatan mengalami kerugian sehingga 2% minggu lalu.
Firma itu mendapati kerajaan menganggarkan kutipan daripada cukai tersebut adalah sebanyak RM3.9 bilion terutamanya menerusi sektor pembuatan, perbankan dan utiliti.
Anggaran itu adalah lebih rendah daripada unjuran awal yang dibuat CGS-CIMB sebelum itu ke atas pendapatan KLCI sebanyak RM4.4 bilion.
"Bagaimanapun, ini akan diimbangi dengan cukai tambahan daripada penghapusan pengecualian cukai terhadap pendapatan sumber asing, yang tidak diambil kira dalam penilaian awal ke atas pendapatan syarikat yang disenaraikan.
"Kerajaan menganggarkan untuk mengutip kira-kira RM1.2 bilion daripada sumber pendapatan asing yang diterima di Malaysia pada 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Cukai Makmur yang dicadangkan kerajaan untuk dilaksanakan tahun depan itu hanya akan dikenakan secara sekali saja memandangkan negara sedang menghadapi keadaan luar biasa.
Malah, katanya, tidak semua syarikat akan terkesan dengan pelaksanaan cukai itu dengan jangkaan tidak lebih 250 syarikat bakal dikenakan cukai korporat tambahan itu.
Hasil kutipan Cukai Makmur akan digunakan untuk memantapkan lagi sistem kesihatan di negara ini supaya kekal utuh dalam mendepani sebarang cabaran mendatang.
Baru-baru ini, CGS-CIMB mengadakan pertemuan dengan bahagian cukai Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai cadangan cukai yang diumumkan dalam Bajet 2022.
Ia menumpukan kepada 5 aspek cukai utama termasuklah Cukai Makmur, penghapusan pengecualian cukai pendapatan daripada sumber asing, kenaikan 50% duti setem bagi dagangan saham dan pemansuhan had duti setem, perubahan kadar levi keuntungan luar biasa bagi pemain industri sawit dan pelan untuk memperluaskan skop cukai gula.
Cukai Makmur sekali sahaja akan dikenakan kepada syarikat yang mencatat keuntungan melebihi RM100 juta pada kadar 33% berbanding 24% bagi tahun taksiran 2022.
Berkuat kuasa 1 Januari 2022 pula, cukai pendapatan akan dikenakan ke atas pemastautin di Malaysia terhadap pendapatan yang diperoleh daripada sumber asing dan diterima di Malaysia.
CGS-CIMB berpendapat pendapatan sumber asing hanya akan dikenakan cukai jika pendapatan tersebut dihantar ke negara ini.
"Ini berkemungkinan memberi kesan kepada syarikat yang mempunyai anak syarikat asing yang secara konsisten menghantar pendapatan dividen kepada syarikat pemegangan pelaburan di Malaysia.
"Bagaimanapun, impaknya akan lebih rendah jika pendapatan dividen yang dihantar ditolak cukai di negara sumber kerana cukai yang dibayar boleh dituntut sebagai kredit cukai. Pengaturan ini akan menangani kebimbangan mengenai cukai berganda," jelasnya.
Sementara itu, menurutnya, kerajaan mungkin meningkatkan tambahan hasil sebanyak RM400 juta menerusi kenaikan duti setem dalam dagangan saham, pemansuhan had duti setem sebanyak RM200 dan pengecualian 6% cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan pembrokeran berkaitan dagangan saham.
"Namun, perubahan ini dilihat kurang menjejaskan pasaran saham berbanding cukai keuntungan modal," tambahnya.
Firma itu turut mendapati rasional di sebalik langkah kerajaan meningkatkan levi keuntungan luar biasa bagi Sabah dan Sarawak daripada 1.5% kepada 3% adalah untuk menyelaraskan levi tersebut dengan Semenanjung Malaysia, yang membayar 3% levi sejak 2008.
Malah, nilai ambang bagi harga minyak sawit mentah juga dinaikkan sebanyak RM500 satu tan metrik kepada RM3,000 satu tan metrik bagi Semenanjung Malaysia dan RM3,500 satu tan metrik bagi Malaysia Timur untuk menangani kenaikan kos pengeluaran minyak sawit.
"Mengenai cukai gula pula, kami berpendapat paras ambang kandungan gula akan meliputi gula yang ditambah kepada minuman dan gula asli daripada bahan, contohnya laktosa dan maltosa," katanya. - DagangNews.com