CGS-CIMB optimis dengan prospek KPJ DSH2 dipacu segmen pelancongan kesihatan | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB optimis dengan prospek KPJ DSH2 dipacu segmen pelancongan kesihatan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Jan - CGS-CIMB Research positif dengan prospek KPJ Healthcare Bhd. terutama dengan pembukaan operasi KPJ Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2) pada September lalu yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan hasil kumpulan dalam tempoh jangka panjang.

 

Firma itu berkata, hospital pakar itu yang berada di kedudukan strategik di Bukit Lanjan mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian perkhidmatan yang komprehensif merangkumi neurosains, ortopedik, jantung dan pembedahan intervensi/invasif minimuum. 

 

Ia memiliki kira-kira 40 pakar runding residen dan 100 pakar sesi (termasuk dari hospital KPJ lain dan hospital swasta/awam di sekitar Lembah Klang) selain mempunyai peralatan perubatan dan pembedahan yang cangggih.

 

"DSH2 memberi tumpuan kepada meminimumkan penginapan pesakit dan menggalakkan penjagaan ambulatori (contoh pembedahan minimum/bukan invasif), yang kami fikir meningkatkan pengalaman/hasil, penggunaan dan keuntungan/pulangan pesakitnya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam sesi lawatan ke DSH2 baru-baru ini, KPJ turut berkongsi bahawa ia meletakkan hospital pakar itu sebagai hospital pelancongan kesihatan premium utamanya di Malaysia dengan mendapatkan panel insurans global tambahan dan menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai.

 

Kadar penghunian katil (BOR) DSH2 kini melebihi 20%, agak sihat untuk hospital baharu, dengan pesakit asing membentuk kira-kira 30% daripada pangkalannya.

 

Malah, KPJ menjangkakan pulang modal bagi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menjelang akhir 2023 atau awal 2024 manakala pulang modal bagi keuntungan selepas cukai menjelang akhir 2025 (selepas tiga atau tiga tahun setengah).

 

Ini akan dipacu oleh volum pesakit tempatan yang lebih tinggi (mungkin memperoleh lebih banyak panel insurans tempatan) dan asing (penarikan balik penutupan sempadan/SOP perjalanan), ditambah dengan intensiti hasil yang lebih baik.

 

Menurut CGS-CIMB, KPJ juga menjangkakan pesakit asing membentuk kira-kira 50% daripada pangkalan DSH2 dari semasa ke semasa yang akan membantu meningkatkan hasil pelancongan kesihatan kumpulan melebihi paras tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY19) pada FY23 hingga FY24.

 

Ketika ini, katanya, DSH2 mempunyai kapasiti 60 katil berlesen dan akan meningkatkannya kepada 123 katil menjelang akhir 2023.

 

"KPJ mungkin akan meningkatkan lagi kapasiti kepada 205 katil menjelang akhir 2024 manakala 265 katil menjelang akhir 2025. 

 

"Namun, kami dapati perbelanjaan modal (capex) bagi meningkatkan jumlah katil ini adalah minimum," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap KPJ dengan harga sasaran pada RM1.18 sesaham. 

 

Setakat 10.20 pagi, harga sahamnya menokok 3 sen atau 3.03% kepada RM1.02 dengan 683,600 saham diniagakan. - DagangNews.com