KUALA LUMPUR 30 Nov - CGS-CIMB Research menjangkakan Velesto Energy Bhd. akan mencatat prestasi yang lebih baik pada suku keempat ini apabila kumpulan itu kembali merekodkan keuntungan pada suku ketiga.
Bagi suku berakhir 30 September 2022 itu, Velesto mencatat keuntungan bersih sebanyak RM14.97 juta berbanding kerugian bersih RM52.04 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat 89.83% kepada RM173.78 juta.
Peningkatan itu terutamanya didorong penggunaan perkhidmatan penggerudian dan segmen perkhidmatan bersepadu yang lebih tinggi pada suku tersebut.
Keuntungan bersih itu juga menyusuli kerugian bersih sebanyak RM46.20 juta dan RM43.17 juta masing-masing yang direkodkan bagi suku pertama dan kedua.
Ini menjadikan kerugian bersih kumpulan berkurangan kepada RM74.4 juta bagi tempoh kumulatif sembila bulan berakhir 30 September 2022 daripada RM96.52 juta tahun sebelumnya, apabila pendapatan meningkat 54.22% kepada RM337.78 juta pada tempoh itu.
Menurut CGS-CIMB, Velesto mengatasi prestasi dari segi purata perbelanjaan operasi (opex) penggerudian setiap hari kapasiti kalendar, daripada anggaran AS$29,500 sehari semasa tempoh sembilan bulan, berbanding andaiannya sebelum ini sebanyak AS$31,000 sehari.
Katanya, seperti yang dijangkakan, kadar penggunaan pelantar jack-up juga meningkat kepada 78% pada suku ketiga daripada 39 hingga 41% pada separuh pertama 2022.
"Berdasarkan kepada prestasi ini, kami mengurangkan unjuran kerugian bersih Velesto bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 52% berikutan kos opex yang lebih rendah pada suku keempat.
"Oleh itu, kami menyemak semula pendapatans sesaham (EPS) teras bagi FY23 hingga FY24 dengan unjuran 4 hingga 5% lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara keseluruhan firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Velesto dengan harga sasaran pada 17 sen sesaham.
Namun, CGS-CIMB mengekalkan kadar penggunaan jack-up pada 80% bagi FY23 hingga FY24 (berbanding 64% pada FY22) manakala 75% bagi FY25 dan seterusnya.
Menurutnya, Velesto menandatangani kontrak dengan Petronas bagi tempoh lima tahun membabitkan enam pelantar jack-up antara awal 2022 dan 2024 pada kadar sekitar AS$72,000 sehari.
"Tetapi, kami menganggarkan kenaikan kadar sewaan harian (DCR) kepada AS$75,000 sehari bagi pelantar yang berkeupayaan 'offline' pada FY23.
"Risiko penurunan adalah bergantung kepada kadar penggunaan dan DCR dalam pasaran jack-up yang kemungkinan boleh menurun jika harga minyak jatuh berikutan kemelesetan global," jelasnya.
Setakat 9.09 pagi, harga saham Velesto menokok 0.5 sen atau 3.45% kepada 15 sen dengan 350,000 saham diniagakan. - DagangNews.com