CGS-CIMB : prospek cerah Sunway REIT susulan perpindahan fasa PPN | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : prospek cerah Sunway REIT susulan perpindahan fasa PPN

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - CGS-CIMB mengekalkan penarafan 'Pegang' dengan harga sasaran saham yang lebih tinggi sebanyak RM1.53 bagi saham Sunway Reit berikutan prospek yang lebih baik susulan pembukaan semula sektor ekonomi.

 

Dalam nota penyelidikannya CGS-CIMB berkata, Sunway REIT juga telah merekodkan lonjakan34% tahun ke tahun dalam keuntungan bersih terasnya untuk tempoh Julai sehingga September tahun ini didorong oleh kos operasi hartanah dan perbelanjaan faedah yang lebih rendah serta pendapatan faedah yang meningkat.

 

Katanya, biarpun berhadapan dengan penutupan operasi pada Julai-Ogos tahun ini, hasil bagi suku ke5 tahun kewangan 2021 hanya merosot sedikit sebanyak 0.5% tahun ke tahun namun ia merekodkan peningkatan 3.4% suku ke suku.

 

"Antara faktor utama adalah bahagian runcit dan perhotelan mendapat manfaat daripada pelonggaran SOP pada bulan September apabila Lembah Klang beralih ke fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta jaminan sewa daripada Hotel Sunway Putra yang telah membantu menampan kesan bantuan sewa ke atas peruncit serta pendapatan tempat letak kereta yang lemah dan sumbangan daripada aset pejabat yang baharu diperoleh iaitu The Pinnacle Sunway.

 

"Secara segmen, hasil runcit suku ke-5 2021 telah turun sebanyak 17% tahun ke tahun manakala pendapatan segmen pejabat dan hotel masing-masing melonjak 81% dan 122% tahun ke tahun," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, setelah melihat penambahbaikan ketara dalam sentimen runcit dan perjalanan domestik sejak Oktober perjalanan hujung minggu pusat membeli-belah runcit kini berada pada 60-80% berbanding tahap pra-pandemik serta peningkatan tempahan hotel.

 

"Strategi kumpulan dalam beberapa bulan akan datang adalah untuk menangkap pemulihan pasaran dalam  suku keempat dengan meningkatkan promosi, memfokuskan pada pengekalan penyewa runcit dan meningkatkan kadar penghunian hotel sejajar dengan perayaan akhir tahun. 

 

"Walau bagaimanapun, bantuan penyewaan akan diteruskan, walaupun secara terpilih, dan pengembalian sewa harus kekal negatif pada kadar satu digit yang lebih rendah," katanya.  

 

Keuntungan bersih teras untuk tempoh 15 bulan tahun kewangan 2021 Sunway REITsecara umumnya selaras dengan konsensus, pada 70% daripada ramalan keuntungan bersih teras 18 bulan konsensus, tetapi melebihi anggaran CGS-CIMB sebanyak 5.6%.

 

Prestasi keseluruhan hasil dan pendapatan pada umumnya lemah, mencerminkan kesan wabak dan penutupan berpanjangan ke atas aset runcit dan hotel kumpulan sejak 20 Julai. -DagangNews.Com