CGS-CIMB ramal TM untung RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB ramal TM untung RM1 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Berhad (TM) dijangka meneruskan momentum prestasi kewangan kukuh memasuki suku pertama 2021 (1Q21).

 

Berdasarkan unjuran CGS-CIMB Research, TM berpotensi mencatatkan keuntungan atau pendapatan sebelum faedah, susut nilai cukai dan pelunasan (EBITDA) dalam lingkungan RM985 juta hingga RM1 bilion.

 

Ini menyaksikan jangkaan pertumbuhan 7% hingga 9% bagi perbandingan tahun ke tahun (y-o-y), menurut jadual disediakan CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

 

“Selepas mencatatkan jumlah pelanggan baharu iaitu 128,000 pada 4Q20, kami fikir unifi bakal mengekalkan pertumbuhan langganan yang kukuh memasuki 1Q21.

 

Jadual TM

 

"Ini mungkin dipacu oleh permintaan gentian rumah yang kukuh kerana pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat sejak Januari serta pengembangan liputan gentian TM, di mana mungkin mendorong peralihan langganan Streamyx kepada unifi. 

 

“Kami tidak akan terkejut sekiranya hasil perusahaan suku pertama dicatatkan lebih rendah di bawah TM One kerana musim yang lebih lemah. Namun, kami percaya ini akan bertambah baik bagi perbandingan y-o-y kerana 1Q20 terjejas akibat penguncupan diskaun diperbaharui dan kesan COVID-19 awal,” jelas CGS-CIMB.

 

TM dijangka mengumumkan prestasi kewangan bagi 1Q21 menjelang 27 Mei ini. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘tambah’ saham TM dengan harga sasaran tidak berubah pada kadar RM6.80 sesaham. 

 

CGS-CIMB melihat perolehan tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22 akan menjadi pemangkin utama kepada penilaian semula saham TM. 

 

Perbelanjaan operasi sebaliknya mendatangkan risiko penurunan kepada syarikat telekomunikasi itu, ramal CGS-CIMB. 

 

Setakat 2.25 petang, saham TM melonjak 1 sen kepada RM5.79. - DagangNews.com