CGS-CIMB : Ringgit diunjur lebih lemah berlegar pada RM4.60 menjelang akhir 2022 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Ringgit diunjur lebih lemah berlegar pada RM4.60 menjelang akhir 2022

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Sept - CGS-CIMB Research menyemak semula unjuran ringgit yang dijangka berlegar pada RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding RM4.25 sebelum ini berikutan prospek mata wang tempatan itu yang dilihat terus suram. 

 

Penganalisisnya, Nazmi Idrus berkata, kelemahan ringgit itu disebabkan jangkaan lebihan dagangan yang lebih lemah di tengah-tengah aliran menurun harga komoditi dan kesan buruk daripada perkembangan di China.

 

Katanya, ringgit menyaksikan peningkatan minggu lalu di sebalik jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar dasar semalam (OPR) disebabkan pengukuhan dolar AS.

 

"Risiko tindak balas dasar yang lebih kukuh terhadap ringgit oleh bank pusat, khususnya mengenai peraturan penukaran eksport, sudah ada, walaupun BNM semasa mesyuarat dengan penganalisis menyebut bahawa kadar penukaran pengeksport kekal pada paras stabil (pada 70%), meminimumkan risiko pendekatan tegas oleh bank pusat.

 

"BNM juga menunjukkan tindak balas yang tegas terhadap sebarang tambatan mata wang. Dengan prospek ekonomi diunjur lebih lemah menuju ke hadapan, dan perbezaan kadar faedah yang luas, di samping campur tangan BNM yang terhad, dolar AS/ringgit boleh terus menurun," jelasnya.

 

Pada 2023, beliau berpendapat, ringgit dijangka pulih daripada beberapa kerugian, dibantu oleh kenaikan OPR dan penamatan pendirian 'hawkish' oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

 

"Oleh itu, kami menjangkakan ringgit akan berlegar pada RM4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir 2023," tambahnya.

 

Pagi ini ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS di tengah-tengah kebimbangan pasaran berikutan perkembangan kadar faedah di AS dan harga minyak mentah global.

 

Setakat 9 pagi, mata wang itu menokok kepada RM4.4960/4995 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam pada RM4.5010/5040.

 

Bursa Malaysia pula dibuka tinggi sedikit, namun menyusut kemudiannya kerana para pelabur masih menimbangkan usaha Fed memerangi inflasi di tengah-tengah sentimen pasaran serantau yang bercampur-campur.

 

Ia menyaksikan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.83 mata untuk mencatatkan paras 1,493.90 mata berbanding penutupan Khamis pada 1,494.73. Indeks utama itu dibuka 1.02 mata lebih kukuh pada 1,495.75 mata.

 

Dalam pada itu, dalam nota kajian berasingan, CGS-CIMB menjangkakan kenaikan OPR akan memberi kesan negatif jangka pendek kepada pasaran dari sudut perspektif sentimen. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, pasaran mampu menyerap kenaikan OPR itu dengan mengambil kira keseluruhan gearan bersih syarikat tersenarai di Bursa Malaysia pada 45% dan kadar OPR semasa masih di bawah paras sebelum pandemik pada 3%. 

 

"Selain itu, ia juga akan mengambil kira faktor terhadap impak pendapatan yang positif terhadap bank, boleh mengimbangi kesan negatif kos pinjaman yang lebih tinggi melibatkan beberapa sektor dalam KLCI," jelasnya.

 

Menurut firma itu, kenaikan OPR adalah negatif kepada sektor seperti hartanah, automotif dan pengguna disebabkan pendapatan boleh lupus yang semakin berkurangan.

 

"Kenaikan ini juga negatif bagi syarikat yang mempunyai pinjaman ringgit kadar terapung yang tinggi, disebabkan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi. 

 

"Sebaliknya, syarikat dengan baki tunai bersih yang tinggi boleh mendapat manfaat memandangkan pendapatan faedah yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com