KUALA LUMPUR 16 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan pasaran ekuiti mungkin kekal lemah dengan risiko penurunan pada suku ketiga ini, memandangkan ia cuba mengatasi kebimbangan dasar monetari global yang lebih ketat.
Bagaimanapun, pasaran dijangka melantun semula pada akhir suku keempat, didorong sistem politik yang lebih stabil, belanjawan mesra pasaran dan kemasukan kembali pekerja asing di dalam negara, demikian menurut penganalisisnya, Ivy Ng Lee Fang.
Beliau berkongsi pandangan firma itu terhadap prospek separuh kedua 2022 bersama 190 pelabur sejak 3 minggu menerusi laporannya sebelum ini bertajuk 'A Leap Into The Dark'.
"Tiada penolakan besar daripada pelabur yang kami temui terhadap pandangan kami mengenai separuh kedua yang mencabar dan tidak menentu.
"Malah, pelabur secara amnya neutral kepada kelemahan pasaran dengan kebimbangan utama mereka ialah peningkatan kos operasi, risiko dasar dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut beliau, dari perspektif ekonomi, firma itu menyerlahkan prestasi ekonomi semasa yang teguh di Amerika Syarikat (AS) dan China, walaupun ia memberi amaran bahawa kelembapan akan ketara pada lewat-separuh kedua 2022 hingga 2023.
Selepas kenaikan 75 mata asas pada Julai, Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka menaikkan lagi kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada September dan November ini, sebelum berhenti seketika pada 2023.
Di China, situasi pasca sekatan COVID-19 berkemungkinan meredakan situasi rantaian bekalan global walaupun dasar sifar pandemik yang berlarutan akan melemahkan liberalisasi secara berterusan.
"Kami menerima rintangan yang lebih besar dari segi domestik, terutamanya pada tinjauan mata wang dengan mengunjurkan ringgit akan diniagakan pada RM4.25 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, menolak trend mata wang semasa yang semakin lemah," jelasnya.
Berdasarkan pandangan CGS-CIMB, Lee Fang berkata, asas ekonomi AS berbanding Malaysia, lebih memihak kepada negara.
"Walaupun perbezaan kadar faedah semakin meluas, perbezaan inflasi adalah lebih besar, meletakkan kadar sebenar Malaysia pada kedudukan yang lebih baik," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, keadaan pasaran buruh yang ketat pada masa ini menggambarkan kekurangan pekerja asing dan juga tempatan.
Bagi pekerja tempatan, kekurangan adalah meluas merentas semua kategori termasuk mahir, separuh mahir dan tidak mahir.
Beliau turut memberitahu, pelabur ingin mengetahui kedudukan fiskal kerajaan dengan mengambil kira jumlah subsidi yang besar disuntik ke dalam ekonomi.
"Oleh itu, kami berpendapat kerajaan masih boleh mengekalkan sasaran 6% defisit fiskal tahun ini walaupun terdapat tambahan perbelanjaan RM46 bilion untuk subsidi (RM77 bilion diperuntukkan sekarang berbanding RM31 bilion pada mulanya).
"Jumlah ini akan diperoleh daripada kutipan yang lebih baik dalam hasil berkaitan komoditi di tengah-tengah harga minyak mentah dan minyak sawit yang tinggi," jelasnya.
Kerajaan juga katanya, akan mengutip lebih banyak cukai pendapatan serta cukai jualan dan perkhidmatan daripada persekitaran ekonomi yang lebih baik.
"Kekurangan ini akan ditampung daripada dividen Petronas yang lebih tinggi (tambahan RM15 hingga RM20 bilion di samping RM25 bilion yang telah dilaksanakan) serta beberapa pengurangan dalam perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan," tambahnya. - DagangNews.com