CGS-CIMB senarai 4 kontraktor berpotensi ‘menang’ projek MRT3 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB senarai 4 kontraktor berpotensi ‘menang’ projek MRT3

Gambar www.mymrt.com.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 April - Di bawah liputan saham dan syarikat CGS-CIMB Research, firma penyelidikan itu menjangkakan terdapat empat kontraktor utama yang mungkin muncul sebagai pemenang projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3). 

 

Jangkaan itu dibuat selepas Mass Rapid Transport Corp Sdn. Bhd. berhasrat untuk mengumpul dana swasta bagi menjana 10% hingga 30% daripada jumlah keseluruhan projek MRT3. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB, Sharizan Rosely mengetengahkan Gamuda Berhad, IJM Corporation Berhad, WCT Holdings Berhad dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) sebagai kontraktor berpotensi meraih pakej kerja-kerja sivil MRT3. 

 

“Kami percaya ini (pemerolehan projek) mungkin berpihak kepada Gamuda untuk mendapatkan kontrak turnkey dan juga bahagian bawah tanah MRT3.

 

“Kami percaya bahawa model pendanaan hibrid (melibatkan dana sektor swasta) akan dikumpul pada tahap pemilik aset atau pemaju (MRT Corp) dan bukan tahap kontraktor turnkey,” katanya dalam sebuah nota kajian.

 

Menerusi laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim menyasarkan untuk membuka tender projek berkenaan menjelang Ogos ini. 

 

Jelasnya, MRT Corp juga telah menerbitkan permohonan maklumat (RFI) kepada pemain industri, sementara kerajaan memberi tempoh tiga bulan untuk syarikat itu memuktamadkan jajaran MRT3. 

 

Baca : MRT rancang kumpul dana jana 10-30% projek MRT3

 

Tambah Sharizan, kontrak itu akan diberi berdasarkan penggunaan teknologi termasuk Sistem Bangunan Perindustrian (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).

 

MRT Corp menyasarkan proses pemberian kontrak itu selesai pada penghujung 2021 dan dapat memulakan pembinaan pada awal 2022, kata Sharizan.

 

Ujar penganalisis itu lagi, MRT Corp memberi bayangan bahawa projek berkenaan mungkin menelan kos tidak jauh berbeza daripada kira-kira RM20 bilion hingga RM30 bilion, iaitu anggaran kos asal MRT3 sebelum dikaji semula.

 

Baca : Kos MRT3 dikurangkan hingga 40% - CGS CIMB 

 

“Pilihan pendanaan hibrid positif buat MRT3 kerana akan mempercepatkan rancangan pelaksanaan (menampung ruang terhad kerajaan untuk pembiayaan pembinaan langsung); walaupun jadual pembinaan lebih lama iaitu 10 tahun. 

 

“Kami kekal ‘neutral’ ke atas sektor pembinaan tanpa mengambil kira ketidaktentuan politik dan kejelasan pembiayaan mega sebagai risiko peningkatan. 

 

“Risiko penurunan adalah penangguhan projek,” tambah Sharizan. 

 

Baca : Gamuda dalam kedudukan untung raih projek mega lain - MIDF

 

CGS-CIMB meletakkan saranan ‘tambah’ ke atas saham keempat-empat kontraktor berpotensi itu dengan Gamuda sebagai pilihan utama. - DagangNews.com