CGS-CIMB turunkan unjuran perolehan sesaham, TP Kawan Food | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB turunkan unjuran perolehan sesaham, TP Kawan Food

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Perolehan sesaham (EPS) syarikat pengeluar makanan sejuk beku, Kawan Food Berhad diunjurkan 5.6% hingga 7.3% lebih rendah oleh CGS-CIMB Research bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 susulan kadar penggunaan yang rendah dan kos input lebih tinggi. 

 

Berikutan itu, CGS-CIMB menyemak turun harga sasaran (TP) Kawan Food kepada RM3.00 sesaham yang mengambil kira persekitaran operasi mencabar antaranya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut penganalisisnya, Walter Aw.

 

“Bagaimanapun, kami masih ‘suka’ Kawan Food kerana prospek perolehannya, jenama roti sejuk beku dalam pasaran dan kunci kira-kira yang kukuh,” katanya dalam satu nota kajian. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘tambah’ ke atas saham Kawan Food.

 

Syarikat industri makanan dan minuman itu menjangkakan kadar penggunaan suku kedua 2021 (2Q21) bakal menyusut sedikit berbanding suku tahun sebelumnya susulan pengeluaran yang lebih perlahan di operasinya dari Malaysia. 

 

Memandangkan syarikat mempunyai tempahan tertunggak yang banyak, Kawan Food berhasrat untuk mengurangkan kerugian pengeluaran dengan melanjutkan waktu kerja shif.

 

“Melangkah ke hadapan, Kawan Food menjangkakan permintaan yang kukuh terhadap produknya disokong oleh pasaran eksport dan domestik. 

 

“Kawan Food mencatatkan pertumbuhan jualan eksport 13.3% pada FY20 berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh permintaan lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada dan perolehan pelanggan baharu,” tambah Aw. 

 

Syarikat dalam pada itu menyasarkan pasaran baharu seperti Eropah dan berhasrat untuk meraih lebih banyak pelanggan di pasaran eksport utamanya, Amerika Utara. 

 

Kawan Food juga tidak menolak sebarang peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang boleh ditambah ke dalam tawaran produknya atau usaha sama bagi perniagaan sedia ada. - DagangNews.com