CGS-CIMB turunkan unjuran untung bersih sektor kewangan 1.4% & 6.5% | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB turunkan unjuran untung bersih sektor kewangan 1.4% & 6.5%

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 12 Nov -  CGS-CIMB memotong unjuran untung bersih (NP) bagi sektor kewangan masing-masing kepada  1.4% dan 6.5%  bagi tahun 2021 & 2022 namun meningkatkannya kepada 2.3% bagi tahun 2023 dengan mengambil kira pelaksanaan Cukai Makmur dan kenaikan 25 mata asas bagi kadar dasar semalaman (OPR).

 

Firma penganalis itu berkata, dalam laporan bertarikh 5 Nov, 8 Nov dan 9 Nov 2021, pihaknya telah melaraskan ramalan pendapatan dengan mengambil kira faktor CM dan kenaikan 25bp dalam OPR. 

 

"Ini membawa kepada pemotongan 1.4% dalam unjuran NP teras tahun 2021 untuk sektor ini disebabkan oleh Cukai Makmur, pengurangan sebanyak 6.5% dalam ramalan NP teras 2022 kerana kesan negatif daripada Cukai Makmur akan lebih daripada mengimbangi kesan positif daripada kenaikan OPR serta kenaikan 2.3% dalam ramalan NP untuk tahun 2022 disebabkan oleh kenaikan OPR," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

 

Ia berkata, berikutan semakan pendapatan, pihaknya mengurangkan unjuran pertumbuhan NP teras daripada 10.5% kepada 9% untuk 2021 dan daripada 8.1% kepada 2.4% untuk 2022. 

 

"Kami jangkakan pemulihan pendapatan kami pada 2021-2022 kekal utuh selepas pemfaktoran dalam Cukai Makmur walaupun mengunjurkan NP teras berkembang pada kadar yang lebih perlahan. 

 

"Di samping itu, kami meningkatkan unjuran pertumbuhan dalam NP teras bagi bank daripada 7.6% kepada 17.7% untuk tahun 2023, disebabkan oleh asas yang lebih rendah untuk NP teras tahun sebelumnya ] dan kesan positif kenaikan OPR pada pendapatan 2023," katanya.

 

Tambah CGS-CIMB, ia menjangkakan Maybank mendapat manfaat daripada pertumbuhan pinjaman industri yang lebih kukuh sebanyak 5-6% di Singapura dan  Indonesia pada tahun hadapan berbanding 4-5% di Malaysia. 

 

"Hasil dividennya juga menarik pada 4.8% untuk tahun kewangan 2021," katanya. -DagangNews.Com