CGS-CIMB unjur bahagian perbankan global Maybank pacu perniagaan di luar negara | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur bahagian perbankan global Maybank pacu perniagaan di luar negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' ke atas Malayan Banking Berhad (Maybank) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM10.30 selepas melihat bahagian perbankan global (GGB) kumpulan bank itu memacu perniagaan di luar negara dengan mengembangkan pendapatan transaksi dan meningkatkan keupayaan jualan silang.

 

Firma itu berkata, bank itu sebelum ini menganjurkan hari pelabur menerusi bahagian GGB yang merupakan penyumbang utama kepada kumpulan, menyumbang 37% daripada hasil kumpulan dan 47.3% daripada keuntungan operasi praperuntukan (PPOP) pada FY22.

 

Katanya, GGB mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun hasil empat tahun (CAGR) sebanyak 2.3% pada FY18 hingga FY22 sebahagiannya diheret oleh kesan negatif wabak COVID-19 yang menyebabkan hasil berkurangan sebanyak 5.5% pada FY21.

 

Sementara itu, PPOP berkembang pada CAGR empat tahun sebanyak 3.4% pada FY18 hingga FY22.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan PPOP GGB akan meningkat sebanyak 3% hingga 5% setahun dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

"Kami tidak menjangkakan sebarang peningkatan ketara dalam pertumbuhan PPOP GGB dan hasil dalam jangka sederhana, memandangkan hasil yang besar dan asas PPOP serta persaingan yang sengit di rantau ini," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu menjangkakan pertumbuhan barisan teratas GGB berada pada kadar satu digit setahun dalam beberapa tahun akan datang. 

 

Katanya, sebarang pengembangan yang lebih kukuh dalam PPOP (berbanding dengan pertumbuhan hasil) akan datang daripada peningkatan dalam kecekapan operasi, sebahagiannya melalui perkongsian sumber antara operasinya di pelbagai negara.

 

Firma itu mengulangi saranan 'tambah' berdasarkan pemangkin penilaian semula yang berpotensi daripada pemulihan dalam pertumbuhan teras EPS kepada 16% pada FY23 dan potensi hapus kira dalam tindanan pengurusan sejumlah RM1.7 bilion pada akhir Mac tahun ini. - DagangNews.com