CGS International unjur Velesto raih pendapatan kukuh bagi FY25, FY26 | DagangNews Skip to main content

CGS International unjur Velesto raih pendapatan kukuh bagi FY25, FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - CGS International mengunjurkan Velesto Energy Bhd meraih pendapatan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir FY25 dan FY26.

 

Katanya, jadual pelantar terkini kumpulan itu menujukkan kadar penggunaan 82% bagi FY24, memandangkan kesemua enam pelantar jack-up milik mereka telah memiliki kontrak dengan potensi peningkatan melebihi 90% pada FY25 dan sekurang-kurangnya 85% pada FY26.

 

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan kumpulan itu telah membida untuk kerja FY26 dalam persekitaran kadar piagam harian (DCR) yang tinggi hari ini, terdapat potensi untuk mengekalkan keuntungan yang tinggi untuk tiga tahun akan datang.

 

"Ketidakpastian utama adalah untuk separuh kedua tahun ini, di mana Velesto akan menghantar tiga pelantarnya (Naga 2, Naga 5 dan Naga 6) untuk tinjauan berkala khas (SPS).

 

"Ini mungkin mengambil masa lebih lama daripada jangkaan jika peralatan tertentu perlu diganti dan ia boleh melambatkan permulaan kerja penggerudian berikutnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International berkata, Velesto memperuntukkan tiga bulan untuk setiap pelantar SPS, apabila biasanya hanya dua bulan diperlukan.

 

"Ia adalah mencukupi bagi menjelaskan sebarang kejutan yang tidak dijangka," katanya.

 

Memandang ke hadapan, firma penyelidikan itu berkata, jadual pelantar Velesto menunjukkan bahawa mereka boleh mencapai lebih 90% penggunaan pada FY25, jauh mendahului andaian 80%.

 

"Naga 2 memiliki kontrak penggerudian untuk Petronas Carigali bermula Oktober 2024 hingga Februari 2026 manakala Naga 4 akan menjalankan kerja-kerja untuk syarikat sama dari September 2023 hingga Februari 2026 dan Naga 6 juga memiliki kontrak bermula Disember 2024 hingga Februari 2026.

 

"Sementara itu, Naga 8 menjalankan kerja-kerja penggerudian untuk Carigali Hess sejak Julai 2023 dan akan diteruskan sehingga Oktober 2025," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 32 sen sesaham. - DagangNews.com