Chin Hin Group Property Bhd ambil alih Makna Setia bernilai RM9 juta | DagangNews Skip to main content

Chin Hin Group Property Bhd ambil alih Makna Setia bernilai RM9 juta

 

KUALA LUMPUR 10 Dis – Chin Hin Group Property Berhad (CHGP), syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa yang terlibat terutamanya dalam pembangunan hartanah, mengumumkan pengembangan perniagaan pembinaannya hari ini melalui cadangan pengambilalihan sebanyak 60% kepentingan ekuiti dalam Makna Setia Sdn Bhd menerusi anak syarikat miliknya 65%, Kayangan Kemas Sdn Bhd berharga RM9 juta.



 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CHGP berkata Kayangan Kemas telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan Liew Jor Ho, Chai Yan Min dan Yap Seng Hee untuk penjualan kepentingan sebanyak masing-masing 25.5%, 25.5% dan 9% dalam Makna Setia dan dijangka dimuktamadkan menjelang suku pertama 2022.

 

Makna Setia adalah kontraktor Gred 7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan. dan terlibat terutamanya dalam pembinaan infrastruktur awam, termasuk jambatan, landasan kereta api dan lebuh raya.

 

Beberapa projek terkemukanya termasuk Transit Aliran Massa (MRT) Pakej V210, Sambungan Timur Besraya, West Coast Expressway (WCE), SUKE Highway, Kajang 2 – Jalan Reko Flyover, Bandar Utama Elevated Bridge and Sunway Serene Scenic Lake Bridge, Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Sambungan Timur Besraya, Pakej Transit Aliran Massa (MRT) V5 dan Jejambat Kajang 2.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, Makna Setia mencatatkan pendapatan RM55.7 juta dengan keuntungan selepas cukai RM5.1 juta.

 

Mengulas mengenai pengambilalihan itu, Pengarah Eksekutif CHGP, Chiau Haw Choon berkata, cadangan itu akan membolehkan CHGP memanfaatkan industri pembinaan infrastruktur, yang merupakan pelengkap kepada perniagaan pembangunan hartanah CHGP dan perniagaan pembinaan Kayangan Kemas Sdn Bhd yang sedia ada.

 

Menurutnya, ia bukan sahaja membolehkan CHGP mempunyai akses secara tidak langsung kepada projek Makna Setia yang sedang berjalan dan akan datang, tetapi juga berkembang ke skop yang lebih luas dalam industri pembinaan yang merangkumi pembangunan infrastruktur awam seperti jambatan, landasan kereta api dan lebuh raya.

 

chiau haw choon
                                                                                       Chiau Haw Choon



Pada masa hadapan ujar beliau, CHGP akan dapat mengukuhkan pasukan pembinaan di peringkat dalaman secara sendiri dan menyasarkan untuk projek infrastruktur di negara ini, yang mana akan mengembangkan lagi kepakarannya melangkaui pembinaan rumah.

 

Cadangan Pengambilalihan juga akan menambah kepada buku tempahan Kayangan Kemas sedia ada yang bernilai RM1 bilion.

 

Dengan pelanggan yang terdiri daripada pemilik harta swasta atau pemaju hartanah kepada pelbagai kementerian kerajaan, ia mempunyai projek yang sedang dijalankan terutamanya dalam pembinaan dan naik taraf hospital.

 

Syarikat itu juga membina dewan masyarakat dan kompleks pentadbiran untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. – DagangNews.com