Chin Hin lengkapkan pengambilalihan 50.8% kepentingan dalam CHGP | DagangNews Skip to main content

Chin Hin lengkapkan pengambilalihan 50.8% kepentingan dalam CHGP

 

 


KUALA LUMPUR 5 Ogos - Chin Hin Group Berhad menyelesaikan pengambilalihan kepentingan 50.8% dalam Chin Hin Group Property Berhad (CHGP) menjadikan syarikat itu kini sebagai subsidiari di bawah kumpulan. 

 

CHGP juga merupakan syarikat tersenarai yang ketiga menyertai konglomerat itu selepas Solarvest Holdings Bhd. dan Signature International Bhd.

 

Pengambialihan itu juga membolehkan Chin Hin mengembangkan perniagaannya dalam pembangunan hartanah yang selama ini tertumpu dalam pengeluaran dan pengedaran bahan binaan bersepadu. 

 

Langkah itu dilihat seiring dengan aspirasi Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin, Chiau Haw Choon untuk mempelbagaikan segmen perniagaan kumpulan. 

 

"Ini terbukti dalam langkah pengembangan CHGP (yang sebelum itu dikenali sebagai Boon Koon Group Berhad) pada 2017 dalam pembangunan hartanah berbanding tertumpu kepada pembuatan kenderaan komersial yang telah siap dibina," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Apabila langkah pengambilalihan kepentingan itu dimuktamadkan, ia membolehkan CHGP mempelbagaikan aktiviti perniagaan termasuk pembinaan bagi melengkapkan segmen pembangunan hartanah sedia ada.

 

Buat masa ini, CHGP dalam proses mengambil alih tanah bagi memperluaskan bank tanahnya dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM4 bilion. 

 

Pengurusan Chin Hin juga berpendapat CHGP akan mencatat keuntungan lebih daripada RM25 juta pada tahun kewangan akan datang berdasarkan nilai projek semasa dan dalam perancangan CHGP. 

 

"Pegangan dalam CHGP ini juga membolehkan kumpulan menyepadukan keuntungan kira-kira RM12.5 juta CHGP yang akan menyumbang secara positif kepada asas keuntungan Chin Hin," katanya. - DagangNews.com